KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa campur tangan segera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Afrika (AU) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menghentikan kekejaman serta pembunuhan beramai-ramai yang didakwa dilakukan kumpulan Rapid Support Forces (RSF) di Darfur, Sudan.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, ABIM menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan kemanusiaan di negara itu, khususnya di Al-Fashir, ibu kota Darfur Utara yang kini dilaporkan menjadi lokasi siri pembunuhan beramai-ramai oleh RSF dan kumpulan sekutunya.
“Menurut laporan Pejabat Hak Asasi Manusia PBB dan Human Rights Watch, lebih 15,000 orang awam telah terbunuh di Darfur sejak konflik memuncak pada 2023.
“Manakala lebih 10 juta rakyat Sudan kini menjadi pelarian sama ada di dalam atau luar negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Ahmad Fahmi, ketiadaan wartawan antarabangsa di kawasan konflik menyebabkan penyelidik terpaksa bergantung kepada imej satelit bagi mengesahkan bukti kekejaman yang berlaku di darat.
Antara yang dikesan termasuk tompokan besar darah, kebakaran penempatan awam serta pengepungan kawasan penduduk yang cuba menyelamatkan diri.
“Jenayah yang sedang berlaku di Darfur jelas memenuhi definisi genosid sebagaimana ditetapkan dalam Konvensyen Genosid 1948, khususnya terhadap komuniti Masalit dan kelompok Afrika Darfur yang menjadi sasaran berdasarkan identiti kaum mereka,” tambahnya.
Sehubungan itu, ABIM menuntut agar komuniti antarabangsa melaksanakan sekatan menyeluruh terhadap mana-mana negara, entiti atau individu yang dikenal pasti menyalurkan dana, senjata serta sokongan ketenteraan kepada RSF.
Selain itu, akses kemanusiaan tanpa sekatan perlu diberikan kepada agensi bantuan bagi membolehkan mereka menyalurkan keperluan asas kepada penduduk yang berisiko berdepan kebuluran besar-besaran.
ABIM turut menggesa siasatan bebas antarabangsa di bawah Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dijalankan bagi memastikan semua pelaku jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan genosid dibawa ke muka pengadilan.
Dalam masa sama, Fahmi menyeru Malaysia melalui Wisma Putra memainkan peranan lebih aktif di peringkat antarabangsa, termasuk menyokong resolusi kecemasan di PBB serta membawa isu itu ke pentas ASEAN dan dunia Islam selaras dengan komitmen Malaysia membela mangsa penindasan global.
“Kerajaan Sudan mempunyai tanggungjawab undang-undang antarabangsa untuk menghentikan serangan kejam terhadap rakyatnya.
“Pembunuhan berasaskan identiti kaum tidak boleh dibiarkan berterusan dan tidak boleh dinormalisasi dalam hubungan antarabangsa,” ujarnya.
Sebagai langkah susulan, ABIM melalui agensi kemanusiaannya, Global Peace Mission (GPM) Malaysia telah melancarkan kempen bantuan Peduli Sudan di laman pedulisudan.com bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terperangkap dalam krisis berpanjangan itu.
Fahmi turut mengingatkan masyarakat dunia agar tidak membiarkan sejarah hitam seperti genosid di Rwanda dan Srebrenica berulang, selain menegaskan bahawa kekejaman yang sedang berlaku di Gaza dan kini di Darfur memerlukan tindakan segera komuniti antarabangsa. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















