KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ampang menarik balik kepercayaan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden parti itu.
Setiausaha Bahagian Bersatu Ampang, Daing Mohamad Daing Makati berkata, keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Bersatu bahagian tersebut yang bersidang pada 28 Oktober lalu.
Tambahnya, mesyuarat sama turut mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan secara terhormat dengan segera demi memulihkan perpaduan serta keyakinan ahli-ahli terhadap masa depan parti.
Selain itu Bersatu Bahagian Ampang turut menyeru supaya satu pelan transisi kepimpinan dilaksanakan dengan tertib dan inklusif bagi memastikan Bersatu kekal kukuh dan berdaya saing menjelang pilihan raya akan datang.
“Keputusan ini dibuat secara sebulat suara oleh Jawatankuasa Bersatu Bahagian Ampang setelah mengambil kira pandangan dan aspirasi ahli di peringkat akar umbi yang mengharapkan perubahan demi kelangsungan perjuangan parti yang dicintai,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, Daing Mohamad berkata, Bersatu Bahagian Ampang bersidang pada 28 Oktober lalu untuk membincangkan secara terbuka dan mendalam berkaitan perkembangan mutakhir yang melibatkan hala tuju dan kestabilan dalaman parti itu.
Kata beliau, pihaknya menyedari Bersatu kini berdepan pergolakan dalaman yang ketara kususnya membabitkan hubungan antara Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dengan sebahagian besar kepimpinan di peringkat bahagian di seluruh negara.
“Kita juga menginsafi bahawa kegagalan kepimpinan tertinggi, khususnya Presiden dalam menangani dan menasihati kedua-dua pemimpin tersebut untuk memperkukuh hubungan dalaman parti telah membawa kepada perpecahan yang semakin meruncing dalam kalangan akar umbi serta kepimpinan bahagian,” katanya. – MalaysiaGazette
















