KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy menyifatkan `perlindungan’ Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap perjanjian perdagangan timbal balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) menjejaskan kedaulatan negara.
Sambil melahirkan rasa kesal, beliau turut menilai tindakan AGC itu satu cubaan menyedihkan untuk mengukuhkan sokongan terhadap kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambahnya, selagi AGC berada di bawah kawalan eksekutif negara, kenyataan jabatan tersebut tidak mempunyai keabsahan.
Mengulas mengenai ART, Ramasamy yang juga bekas pemimpin DAP berkata, perjanjian itu adalah tidak adil dan berat sebelah dengan memihak kepada AS.
Ujarnya, tinjauan ringkas terhadap pelbagai peruntukannya menunjukkan bahawa ia mempertikaikan dan menafikan kebebasan ekonomi dan politik Malaysia.
“Negara seperti Malaysia sepatutnya dibenarkan untuk mengorak langkah secara bebas dalam hal-hal berkaitan perdagangan dan pelaburan.
“Namun malangnya, perjanjian perdagangan yang kononnya bertujuan mengekang pengaruh ekonomi China itu sebenarnya menyekat kemampuan Malaysia untuk menjalin perjanjian perdagangan dengan negara-negara lain,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, AGC dalam satu kenyataan memaklumkan, Malaysia mempunyai hak untuk menamatkan ART dengan AS pada bila-bila masa melalui pemberitahuan bertulis.
Menurut AGC, penamatan perjanjian itu boleh dilakukan tanpa memerlukan persetujuan AS, berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 7.5 ART, yang bertujuan mempertahankan dan memelihara kedaulatan Malaysia serta melindungi kepentingan negara pada setiap masa.
Sementara itu, Ramasamy menambah, AGC yang sepatutnya melindungi aspek perundangan dan perlembagaan negara dilihat bertindak secara tunduk dengan mengulangi kata-kata eksekutif dalam mempertahankan perjanjian perdagangan tersebut.
Tegasnya, kedaulatan negara tidak boleh dijadikan bahan tawar-menawar walaupun Malaysia mungkin dihukum kerana tidak mematuhi perjanjian tersebut.
“Selagi AGC berada di bawah kawalan eksekutif, ia tidak boleh diharapkan untuk memainkan peranan bebas dalam melindungi Perlembagaan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















