KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang sentiasa berada di sisinya dalam setiap dugaan dan perjalanan hidupnya.
Menerusi satu hantaran ringkas di platform media sosial, Anwar memuat naik gambar bersama isteri tercinta ketika memasuki Dewan Rakyat untuk sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), pagi tadi.
“Di setiap langkah, ada tangan yang sentiasa memastikan saya tidak sendirian. Love, Azizah ❤️,” tulisnya ringkas dengan tanda pagar #Tulangrusuk.
Ahad lalu, Anwar dilaporkan terpaksa membatalkan lawatan kerja ke Pahang selepas mengalami masalah sakit belakang.
Berdasarkan kenyataan Pejabat Perdana Menteri, keputusan pembatalan itu dibuat pada saat akhir atas nasihat pasukan perubatan selepas beliau mengalami kesakitan yang menyebabkan pergerakan terbatas.
Pada masa sama, Anwar turut memohon maaf kepada rakyat Pahang yang sudah membuat persiapan menyambut kehadiran beliau.
Perdana Menteri Ahad lalu dijadual merasmikan Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2025 di Temerloh, sebelum ke Program Temu Anwar@UMPSA di Dewan Utama Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Gambang.
Beliau seterusnya dijadual menghadiri sesi ramah mesra bersama Penggerak Industri Kuantan di ADTEC Jabatan Tenaga Manusia Kampus Kuantan. – MalaysiaGazette
















