Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Pemilik akaun Facebook `Hafiz Sahidi’ tampil membuat permohonan maaf tanpa syarat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Muhammad Hafiz Sahidi menerusi kenyataan di laman sosial Facebook Hafiz BP berkata, dia merujuk kepada satu hantaran yang telah dimuat naik pada 23 Oktober lalu berkenaan isu sekolah pondok.

Katanya, dia mengakui kenyataan itu yang membayangkan seolah-olah Mohd Na’im telah mengarahkan penutupan sekolah-sekolah pondok di Kelantan dan Kedah adalah tidak benar, salah dan tidak menepati fakta sebenar.

Tambahnya, dia kini faham bahawa berita sebenar adalah penafian daripada pihak Mohd Na’im sendiri mengenai isu itu dan telah tersilap lapor (misreported) fakta tersebut.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa saya telah memadam hantaran tersebut lebih awal setelah mendapati sumber asal pautan gambar berkenaan daripada Pertubuhan Muafakat Pondok SeMalaysia turut telah diturunkan daripada laman mereka.

“Penggunaan bahasa saya terhadap YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar khususnya perkataan “bodo” dan “2×5” adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak berasas sama sekali.

TANGKAP layar akaun Facebook Hafiz BP berhubung permohonan maaf kepada Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Sehubungan itu, tambah Muhammad Hafiz, dia dengan ikhlas dan tanpa syarat menarik balik sepenuhnya kenyataan-kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada Mohd Na’im di atas segala kata-kata yang disiarkan dalam posting itu dan salah paham yang timbul akibat posting tersebut.

Dalam masa sama, katanya, dia juga dengan rendah hati memohon pertimbangan dan kemaafan daripada Mohd Na’im agar tidak mengenakan sebarang tuntutan kewangan atau kos terhadapnya.

Jelasnya, dia hanyalah orang kampung biasa, berpendapatan kecil, tidak tetap dan mempunyai tanggungan keluarga yang ramai.

Ujarnya, tindakannya menulis hantaran tersebut adalah kerana terpengaruh dengan emosi dan maklumat yang tidak sahih tanpa niat jahat terhadap sesiapa.

“Saya benar-benar menyesali perbuatan tersebut dan berharap agar YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im dapat menerima permohonan maaf ini.

“Saya berjanji tidak akan mengulangi kenyataan sebegitu atau apa-apa kenyataan serupa terhadap YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Na’im memberi amaran akan memfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap seorang pengguna Facebook yang didakwa membuat kenyataan palsu berhubung penutupan sekolah pondok di Kelantan dan Kedah.

Dalam surat tuntutan yang dikeluarkan firma guaman Akberdin & Co kepada Hafiz Sahidi, peguam Mohd Na’im menyatakan bahawa hantaran media sosial yang menuduh menteri itu mengarahkan sekolah pondok tidak berdaftar ditutup adalah palsu, berniat jahat dan berunsur fitnah.

Menurut surat itu, pihak Mohd Na’im menuntut Hafiz Sahidi menarik balik kenyataan itu, mengakui kesilapannya dan mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka di semua akaun media sosial serta laman webnya selama 30 hari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast