KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) menggesa penumpang penerbangan yang dikenakan caj tambahan melampau seperti dalam kes pembetulan nama pada tiket penerbangan melaporkan perkara itu supaya siasatan dapat dilakukan.
Menterinya, Anthony Loke berkata, beliau secara peribadi beranggapan caj pembetulan nama pada tiket penerbangan tidak sewajarnya melebihi harga tiket asal.
“Kalau ada kes spesifik caj tambahan seperti pertukaran nama yang lebih mahal daripada harga tiket penerbangan asal, tolong bawa kepada saya.
“Sebab saya rasa caj seperti itu tidak sampai melebihi harga asal tiket.
“Jadi saya alu-alukan kalau ada kes spesifik seperti ini tolong serah kepada saya (MOT), sebab kalau aduan dibuat secara general (umum), sukar untuk kita ambil tindakan,” katanya pada sesi jawapan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anthony Loke (PH-Seremban) menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berhubung dakwaan terdapat penumpang penerbangan yang mengenakan penalti lebih mahal berbanding tiket asal hanya untuk dilakukan pembetulan nama pada tiket seperti menambah nama bapa dan sebagainya.
Terdahulu, aduan serupa turut dibuat beberapa penumpang penerbangan di media sosial, sekali gus menggesa kerajaan khususnya MOT mencari jalan penyelesaian supaya kepentingan penumpang turut dilindungi. – MalaysiaGazette
















