KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan menempelak barisan Ahli Parlimen pembangkang yang tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 pada sesi pengundian di Dewan Rakyat semalam.
Tetapi dalam masa sama, katanya, Ahli Parlimen pembangkang turut meminta supaya pelbagai bentuk bantuan daripada Persekutuan disalurkan di kawasan masing-masing.
“Semalam (Ahli Parlimen) pembangkang tak sokong pun Belanjawan (2026), tetapi minta berjela-jela, macam malas saya nak menjawab.
“Kenapa tak sokong (Belanjawan 2026) semalam, lepas itu minta itu dan minta ini,” katanya pada sesi jawapan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) yang bertanyakan berkenaan rancangan kerajaan untuk menaik taraf infrastruktur khususnya jalan raya yang dikatakan banyak bermasalah.
Sedangkan, kata Muhammad Islahuddin, Mersing yang merupakan kawasan maritim dan pelancongan berpotensi untuk dimajukan sekiranya jaringan perhubungan seperti jalan raya yang baik dilaksanakan oleh kerajaan.
Menjawab kepada soalan Muhammad Islahuddin itu juga, Ahmad Maslan berkata: “Saya akan fikirkan apabila kawasan Mersing bersama dengan Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani,” katanya.
Mencelah kepada kenyataan Ahmad Maslan itu, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berkata, beliau boleh meletakkan jawatan sekiranya malas untuk menjawab soalan di Dewan Rakyat.
Mempertahankan kenyataannya, Ahmad Maslan bagaimanapun berkata, malas yang dimaksudkan itu ditujukan kepada soalan pembangkang yang turut malas menghadiri sidang Dewan Parlimen.
Tidak mahu perang mulut itu berpanjangan, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor kemudiannya menjelaskan, beliau dari segi peraturan tidak boleh memaksa Menteri atau Timbalan Menteri untuk menjawab soalan tambahan yang diajukan.
“Tidak ada dalam buku peraturan jadi kita teruskan kepada urusan majlis (sidang Dewan Rakyat),” katanya.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 pada peringkat dasar selepas dibahaskan bermula 13 Oktober lalu.
RUU itu yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 10 Oktober lalu diluluskan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan 120 Ahli Parlimen bersetuju, 67 tidak bersetuju dan 35 tidak hadir. – MalaysiaGazette
















