Polis Diraja Malaysia (PDRM).

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 51 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di Jalan Kuala Lumpur – Ipoh pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 9.34 pagi ketika lori dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun sedang memasuki simpang ke Taman Tasik Teratai untuk mengisi batu kuari.

“Semasa lori membelok ke kanan memasuki simpang tersebut datang motosikal yang ditunggang seorang lelaki dari arah bertentangan dan melanggar tayar belakang sebelah kiri lori tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ibrahim, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Menurutnya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat perlu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohhammadi Mt Abu di talian 03-60641222 atau hadir ke balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast