Iskandar dan Yasmin Mahmood

KUALA LUMPUR – Jasa Kita Berhad (Jasa Kita) mengumumkan pelantikan Datuk (Dr.) Yasmin Mahmood sebagai Pengerusi Eksekutif dan Datuk Seri Iskandar Mizal Mahmood sebagai Pengarah Urusan Kumpulan berkuat kuasa 5 November 2025.

Pelantikan ini menandakan permulaan fasa baharu bagi Jasa Kita, sebuah syarikat tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia yang akan membina kekuatan sedia ada sambil membuka laluan kepada peluang pertumbuhan yang lebih meluas.

Peralihan kepimpinan ini bertujuan memperkukuh asas kumpulan, mengembangkan perniagaan teras ke bidang strategik serta meningkatkan daya saing jangka panjang dan nilai kepada pemegang saham.

Dengan rekod prestasi yang terbukti dalam korporat Malaysia, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat multinasional serta sektor teknologi, Yasmin dan Iskandar membawa pengalaman pelengkap untuk memperkukuh pasukan kepimpinan dan keupayaan pelaksanaan Jasa Kita ketika kumpulan ini bersedia untuk pertumbuhan dan kepelbagaian strategik yang lebih luas.

Pada September 2025, Abd Azis Mohamad pemegang saham utama yang juga suami kepada Yasmin bersama syarikat pelaburannya, Kintan Prima Sdn Bhd, telah memperoleh 40.33% pegangan saham dalam Jasa Kita daripada pemegang saham terdahulu, keluarga Tan (‘Raja Casio’ Tan Sri Robert Tan Hua Choon dan anaknya Datuk Seri Tan Han Chuan), dengan bayaran kira-kira RM68.9 juta pada harga RM0.38 sesaham.

Perolehan ini mencetuskan tawaran am mandatori (MGO) bagi baki saham pada harga yang sama, menandakan perubahan jelas dalam pemilikan kawalan, dengan pegangan saham gabungan mereka kini berjumlah 77.93% selepas selesai MGO tersebut.

Yasmin, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), terkenal sebagai peneraju agenda transformasi digital Malaysia dari 2014 hingga 2018 dan memainkan peranan penting dalam meletakkan asas kepada ekonomi digital negara yang pesat berkembang hari ini.

Dengan kerjaya lebih tiga dekad, beliau menggabungkan pengalaman sektor awam dan swasta, pernah memegang jawatan kepimpinan kanan di syarikat multinasional termasuk Microsoft Malaysia sebagai Pengarah Urusan dan Dell Asia-Pacific sebagai Pengarah Serantau.

Beliau kini menganggotai lembaga pengarah Citaglobal Berhad, MBSB Berhad (MBSB) dan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF).

Sementara itu, abangnya Iskandar merupakan tokoh korporat berpengalaman lebih 35 tahun dalam sektor korporat dan pelaburan. Dikenali sebagai pakar pemulihan dan pemimpin transformasi strategik, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, di mana beliau berjaya mencatat keuntungan tertinggi dan melaksanakan pembaharuan operasi.

Iskandar kini turut menganggotai lembaga pengarah Boustead Holdings Berhad dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Kepimpinan baharu ini berhasrat untuk memperluas horizon Jasa Kita melangkaui asas perniagaan tradisionalnya dalam perdagangan alatan dan peralatan industri, dengan membina kekuatan sedia ada sambil memacu kepelbagaian strategik dan penciptaan nilai jangka panjang.

“Bab baharu bagi Jasa Kita ini adalah tentang bergerak seiring dengan perubahan zaman bagi mencapai pertumbuhan mampan untuk semua pemegang saham setia kami.

“Kami berhasrat memperkukuh daya tahan masa depan syarikat dan sedang meletakkan asas untuk membawa Jasa Kita ke bidang-bidang baharu yang membina kekuatan sedia ada serta melaksanakan inisiatif yang akan membentuk fasa pertumbuhan seterusnya kumpulan ini,” kata Yasmin.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada keluarga Tan kerana telah meletakkan asas kukuh kepada Jasa Kita, dengan menekankan kedudukan kewangan syarikat yang sihat tanpa hutang dan tanpa nisbah liabiliti (gearing).

Sementara itu, Iskandar menambah bahawa syarikat akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengembangan mampan, kehematan kewangan dan usaha membuka nilai jangka panjang untuk pemegang saham serta pelabur.

“Ini adalah permulaan bab baharu bagi Jasa Kita — dibina atas inovasi, integriti dan impak — dengan pelan akan diumumkan dalam masa terdekat,

:Bab baharu syarikat ini bermula dengan komitmen jelas terhadap penciptaan nilai kepada pemegang saham, termasuk pengagihan dividen khas sebanyak 12 sen sesaham yang tarikh kelayakannya akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.

Perkembangan ini mencerminkan keyakinan lembaga pengarah dan pengurusan baharu Jasa Kita terhadap asas kukuh syarikat serta niat untuk memberi ganjaran kepada pelabur sebagai sebahagian daripada perjalanan transformasinya — satu permulaan yang kukuh ketika Jasa Kita melangkah ke era pertumbuhan baharu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast