MELAKA – Penemuan serpihan kapal purba bersama artifak di Pulau Melaka, Banda Hilir di sini menjadi satu perkembangan baharu untuk meluruskan semula sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang sebelum ini mungkin telah dipesongkan dalam catatan kolonial.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penemuan itu membawa makna besar khususnya dalam usaha membetulkan naratif lama yang diwarisi sejak zaman penjajahan.
“Dengan penemuan (serpihan) kapal ini, akan memberikan kita satu indikator baharu tentang persejarahan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka yang terdahulu.
“Ia juga berkemungkinan membuktikan bahawa sejarah yang ada pada kita hari ini telah dipesongkan ataupun dialihkan beberapa fakta yang sebenarnya,” katanya ketika ditemui selepas meninjau tapak penemuan kapal berkenaan di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN) Mohamad Muda Bahadin.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, penemuan bersejarah itu akan menjadi asas kepada penyelidikan lebih mendalam oleh JWN bersama pakar-pakar arkeologi.
Ia termasuklah pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi menentukan usia sebenar serta asal usul kapal berkenaan.
“Saya telah melihat beberapa artifak yang dijumpai tadi termasuk duit syiling yang dipercayai berasal dari zaman Sultan Mahmud Shah…namun masih lagi di peringkat kejadian untuk menentukan artifak ini daripada kurun ke berapa.
“Pastinya penemuan-penemuan baharu ini sekiranya dibuktikan dengan beberapa faktor sejarah sedia ada ia mungkin akan membawa perubahan,” katanya lagi.

Menurut Ab Rauf, kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk mewartakan kawasan terbabit sebagai zon larangan sementara bagi membolehkan kerja-kerja penerokaan dan penyelidikan dijalankan dengan selamat serta tidak diganggu orang awam.
“Kita harap orang ramai tidak mengganggu proses pencarian ini dan artifak yang dijumpai akan dipamerkan di Perbadanan Muzium Melaka (Perzim),” katanya. – MalaysiaGazette
















