JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mahu usaha mensasarkan sifar ketua isi rumah (KIR) berstatus miskin di Johor segera dilakukan.
Baginda menzahirkan hasrat tersebut dalam pertemuan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata, Tunku Mahkota Ismail bertitah demikian selepas kejayaan sifar KIR berstatus miskin tegar di negeri berjaya dilaksanakan.
“Menjunjung titah Tunku Mahkota Ismail, supaya usaha dilaksanakan segera agar tiada seorang pun KIR Bangsa Johor berstatus miskin.
“Kini tumpuan kerajaan negeri beralih kepada kelompok miskin di mana terdapat 8,249 KIR yang direkodkan pada 31 Oktober 2025,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya.
Menurut Onn Hafiz, sebelum ini baginda pada Mei 2024 pernah bertitah agar usaha sama dilakukan untuk mensifarkan golongan miskin tegar.
“Syukur alhamdulillah, berkat usaha pelbagai pihak sebanyak 4,378 KIR miskin tegar yang direkodkan pada Mac 2023 telah berjaya disifarkan sepenuhnya pada Julai tahun lalu,” katanya.
Bagi fasa kedua yang melibatkan 1,360 KIR miskin tegar direkodkan pada Jun 2024 turut berjaya disifarkan ada April lalu, katanya.
“Untuk makluman semua, terdapat perbezaan antara dua kategori kemiskinan, iaitu miskin tegar dan miskin. Kategori miskin tegar merujuk kepada isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM317 per kapita.
“Sementara kategori miskin pula membabitkan isi rumah dengan pendapatan kurang daripada RM735 per kapita,” katanya.
Jelas Onn Hafiz, pihaknya dengan kerjasama agensi kerajaan Persekutaan akan berusaha bagi mensifarkan kemiskinan melalui pendekatan yang holistik, inklusif dan berfokus kepada peningkatan taraf hidup rakyat.
“Patik dan seluruh Bangsa Johor menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada baginda serta seluruh keluarga diraja Johor atas keprihatinan dan kasih sayang tuanku terhadap rakyat, khususnya mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Beliau menyeru agar semua agensi dan pihak berkaitan terus turun padang, memastikan setiap dasar dan pelan tindakan dilaksanakan dengan penuh ketelusan, kecekapan dan keberkesanan.
Jelasnya, ini bagi memastikan setiap rakyat Johor benar-benar merasai nikmat pembangunan dan kemakmuran negeri ini.
“Semoga golongan yang memerlukan di Johor terus terbela dan hasrat kita bersama-sama untuk menoktahkan kemiskinan di negeri ini akan tercapai, insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette
















