PUTRAJAYA – Selama lima hari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menjadi nadi kebangkitan idea apabila ribuan pengunjung dari seluruh negara hadir ke Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 sebuah program mega yang menyatukan dunia pendidikan tinggi, industri dan masyarakat dalam satu ekosistem ilmu yang hidup.
Anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, festival ini membawa tema ‘Madani: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea’, sejajar dengan hasrat kerajaan memperkukuh budaya ilmu, memperkasa inovasi nasional dan membina masyarakat berfikir maju berlandaskan nilai kemanusiaan.
Berlangsung dari 4 hingga 8 November, Putrajaya FOI 2025 bukan sekadar festival, ia merupakan simbol kepada sebuah gerakan nasional.
Difahamkan, dengan kehadiran 2.05 juta pengunjung merangkumi 550,000 secara fizikal dan 1.55 juta secara maya, penyertaan lebih 2,000 pempamer dari 200 pavilion dan booth, serta sokongan 12 kementerian dan enam negara luar, PICC bertukar menjadi pusat interaksi idea paling besar di rantau ini.

Festival ini turut mencatat sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori “Sidang Wacana Akademik Terbanyak dalam Satu Acara Idea & Inovasi’, menandakan kejayaan Malaysia melangkah sebagai City of Ideas yang disegani di peringkat global.
Lebih daripada 120 program diadakan sepanjang festival termasuk forum dasar, bengkel masyarakat, wacana ilmiah, pameran universiti, pertandingan robotik, sesi peluang kerjaya dan persembahan seni.
Putrajaya FOI 2025 juga menjadi pentas kepada 102 memorandum persefahaman (MoU, MoA, Lol) dan pelancaran produk dengan nilai pelaburan sebanyak RM172 juta, membuktikan bahawa idea mampu diterjemahkan kepada nilai ekonomi sebenar.
Empat kluster utama festival iaitu Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS), MyIDEAS Connect, Global Higher Education Summit & Showcase dan Advanced TVET & Entrepreneurship mempamerkan kepelbagaian hasil penyelidikan serta menjadikan Putrajaya sebagai hab pemikiran dan inovasi serantau.
Antara inisiatif paling menonjol tahun ini ialah pelancaran ‘Idea Vault’, mercu tanda baharu ilham KPT untuk mengumpulkan idea rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Hampir 10,000 idea dihantar sepanjang festival, dengan 500 disenarai pendek dan 15 projek utama dinobatkan selepas proses penilaian oleh panel pakar serta analisis kecerdasan buatan (AI).
Menurut Zambry, FOI kini bukan sekadar acara tahunan tetapi medan kebangkitan nasional satu ruang yang menjadikan rakyat bukan hanya penonton tetapi pencipta dan penyumbang masa depan.
“Malaysia sedang berfikir, sedang berubah, sedang bangkit dengan idea dan pemikiran,” katanya dalam ucapan penutup.
Antara pempamer yang menarik perhatian ialah Dr Jacqueline Karimon dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang menampilkan inovasi pertanian lestari Cendawan Volvariella, hasil penyelidikan yang membantu komuniti B40 menjana pendapatan melalui pendekatan ekonomi digital dan teknologi hijau.

Inovasi ini bukan sahaja bernilai ekonomi, tetapi juga berpotensi besar dalam menyokong agenda makanan mampan negara.
Dari universiti lain, Ts. Dr Maryana Mohamad Nor daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memperkenalkan produk makanan kesihatan Biokenaf, yang dihasilkan daripada daun kenaf tempatan dan dipasarkan sepenuhnya secara digital.

Produk ini lahir hasil penyelidikan lima tahun dan kini menjadi model keusahawanan hijau yang selari dengan dasar ekonomi karbon rendah.
Sementara itu, Mohd Sharil Ahmad dari Yayasan Warisan Johor (YWJ) membawa dimensi budaya ke festival dengan demonstrasi tenunan kain benang Johor.

Alat tenun mini yang dipamerkan memberi peluang kepada pengunjung mencuba sendiri seni warisan itu, memperlihatkan bahawa tradisi dan teknologi boleh bergerak seiring.
Bagi pengunjung muda, festival ini ibarat pintu masa depan.
Pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Anna Yong Chui Xin, menganggap penyertaan tahun ini sebagai peluang memperluas perspektif akademik.

“Setiap tahun saya dapat input baharu. Ia bukan sekadar pameran, tetapi ruang memahami bagaimana idea boleh jadi inovasi sebenar,” katanya.
Tiga pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nazrin Aznan, Ahmad Mizfar Abdullah dan Farhan Mohd Mulyadi turut berkongsi keterujaan mereka.

Menurut mereka, Putrajaya FOI 2025 memperkenalkan pelbagai aplikasi AI, robotik, dan coding yang membuktikan pendidikan tinggi Malaysia kini bersedia melahirkan generasi pengatur cara dan inovator masa depan.
Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Emer Izzanie Azhari, yang mengikuti jurusan Artificial Intelligence (AI) pula melihat FOI 2025 ini sebagai sumber inspirasi untuk projek tahun akhirnya.

“Banyak booth beri idea tentang aplikasi AI sebenar dalam industri. Festival ini menunjukkan bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan secara beretika untuk masyarakat,” ujarnya.
KPT turut memperluas keterlibatan masyarakat dengan membawa tema FOI ke ruang sosial dan spiritual termasuk khutbah Jumaat di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan, menjadikan wacana ilmu sebahagian daripada ekosistem kehidupan Madani.
Festival tahun ini turut diserikan dengan kehadiran Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, yang berkenan merasmikan FOI serta meninjau pameran universiti dan kementerian.
Turut hadir Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn; Menteri Pendidikan Tinggi Indonesia, Profesor Brian Yuliarto dan Dr Shirley C. Agrupis dari Filipina menjadikan Putrajaya tumpuan pemimpin akademik serantau.
Dalam ucapan penutupnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penguasaan ilmu dan idea segar adalah asas kemajuan bangsa.
Beliau menyeru rakyat Malaysia untuk membebaskan diri daripada kejumudan pemikiran dan berani mencipta idea pendorong yang berakar pada nilai, akhlak dan kemanusiaan.
Anwar turut menekankan pembangunan teknologi termasuk AI mesti disandarkan kepada nilai kemanusiaan agar teknologi tidak mengasingkan manusia daripada maknanya yang sebenar.
“AI tidak seharusnya meneknologikan manusia, tetapi memanusiakan teknologi,” pesannya disambut tepukan gemuruh ribuan hadirin.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia kini di landasan tepat sebagai hab semikonduktor dan AI serantau, hasil transformasi digital dan dasar pendidikan tinggi yang menekankan kolaborasi, kreativiti dan nilai moral.
Apabila tirai FOI 2025 dilabuhkan, gema semangatnya kekal bergema, ilmu bukan sekadar bahan akademik, tetapi denyut nadi perubahan sosial dan kemajuan bangsa.
Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025 membuktikan Malaysia sedang berfikir, berubah dan bangkit, dengan keberanian untuk mencipta masa depan yang hijau, digital dan berperikemanusiaan berpaksikan nilai Madani dan dipandu oleh keyakinan bahawa idea adalah cahaya yang menerangi jalan kemajuan. – MalaysiaGazette















