KUALA LUMPUR – Seramai 24 pemilik unit kediaman dan komersial mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM23 juta selepas terpedaya dengan skim ‘Pulangan Sewa Terjamin’ atau Guaranteed Rental Return (GRR) yang ditawarkan sebuah syarikat pemaju.
Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan, beberapa mangsa yang hadir memohon bantuan mereka mendakwa skim GRR mula dipasarkan sekitar 2011 hingga 2012 dengan janji pulangan sewaan antara tujuh hingga 9.7 peratus serta rebat harga mencecah 20 peratus.
Difahamkan ramai pembeli membuat pinjaman bank dengan keyakinan wang daripada pulangan sewa itu dapat digunakan bagi membayar ansuran bulanan.
Bagaimanapun, janji manis itu tidak menjadi kenyataan apabila projek dan perjanjian sewaan gagal dilaksanakan seperti dijanjikan menyebabkan mereka menanggung beban hutang berlarutan.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, perjanjian yang ditandatangani antara mangsa dan syarikat terbabit seolah-olah ‘langkah checkmate’ yang hanya menguntungkan sebelah pihak.
“Mangsa yang hadir membuat aduan kepada MHO ialah pemilik unit rumah di dalam projek pembangunan hotel di bawah skim pelaburan GRR yang dianjurkan sebuah syarikat.
Perjanjian yang mereka tandatangani terlalu berat sebelah dan menyukarkan pembeli mendapatkan semula hak mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Beliau mendedahkan ia merupakan aduan kedua diterima MHO berkaitan skim pelaburan GRR dan pihaknya yakin ada pola penipuan yang perlu diberi perhatian serius oleh pihak berwajib.
“MHO memohon agar siasatan menyeluruh dijalankan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan tindakan segera diambil terhadap individu serta syarikat terlibat supaya tiada lagi rakyat menjadi mangsa,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















