Cyrus V. Das (tiga dari kiri) berbual dengan wakil Semantan Estate selepas penghujahan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya berkaitan pertikaian tanah Duta Enclave. 6 NOVEMBER 2025.(GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Keputusan kebenaran merayu Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. (SESB) dalam prosiding pertikaian hak milik tanah Duta Enclave, antara kes kepentingan awam minggu depan.

Khamis ini, Mahkamah Persekutuan akan menentukan sama ada SESB dibenar merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan tanah seluas 263.272 ekar (106.541 hektar) di Mukim Batu, di ibu negara, tidak dipindah milik kepada syarikat itu.

Jika permohonan tersebut dibenarkan, mahkamah akan menentukan persoalan undang-undang yang bakal dihujahkan pada prosiding yang akan ditetapkan tarikhnya.

Syarikat itu mengemukakan 26 persoalan undang-undang bagi menyokong rayuannya.

Jika kebenaran merayu tidak dibenarkan, ini bermakna SESB terlepas segala peluang untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan.

Pada 6 November lalu, panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali, menangguhkan keputusan bagi membolehkan mahkamah meneliti penghujahan peguam pemohon dan responden.

Pada prosiding itu, peguam Datuk Dr. Cyrus V. Dass berhujah mewakili SESB dibantu peguam-peguam Ira Biswas, Alexie Ng Ying Ching dan K. Karu Ashwin manakala Datuk Malik Imtiaz Sarwar berhujah bagi pihak Amicus Curiae.

Shamsul Bolhassan (empat dari kiri) bersama pasukannya selepas penghujahan kebenaran merayu Semantan Estate di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya berkaitan pertikaian tanah Duta Enclave. 6 NOVEMBER 2025. (GAMBAR FAIL).

Sementara itu, Peguam-Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berhujah bagi pihak kerajaan dibantu Ahmad Hanir Hambaly, Nurhafizza Azizan, Azza Azmi, Shazreen Nadia Zulkipli dan Peguam-Peguam Persekutuan Safiyyah Omar dan Nuur Zul Izzati Zulkipli.

SESB merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 24 Jun lalu yang memerintahkan pampasan dibayar kepada syarikat itu yang akan dinilai oleh Mahkamah Tinggi dalam tempoh 90 hari dengan bantuan pakar.

Ini bermakna, Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan tidak perlu mendaftarkan semula tanah itu kepada SESB selepas panel berkenaan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkannya bertindak demikian.

Tanah yang dipertikaikan terletak di kawasan strategik Jalan Duta, dikenali sebagai Duta Enclave, yang menempatkan beberapa bangunan kerajaan, termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri serta Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa kerajaan telah mengambil tanah tersebut secara tidak sah. Rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan selepas itu turut ditolak.

Pada Februari 2017, SESB memfailkan saman terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast