Muhammad Faizzuddin Mohd Zai
Muhammad Faizzuddin Mohd Zai

SHAH ALAM – Dewan Pemuda Pas Selangor menggesa kerajaan negeri mengambil langkah segera mengharamkan penjualan vape susulan peningkatan penggunaan bahan itu dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah.

Naib Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, pihaknya menyokong penuh pelaksanaan Program Zero Vape Peringkat Negeri Selangor 2025 oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor yang bertujuan membanteras ketagihan vape dalam kalangan murid.

“Komitmen JPN Selangor ini wajar dipuji kerana bukan sahaja memperkukuh nilai kesihatan, disiplin serta akhlak murid agar tidak terjebak dalam ketagihan vape malah selari dengan tuntutan Islam untuk menjaga akal dan nyawa (maqasid syariah) serta membina generasi berilmu dan bermaruah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Faizzuddin, data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) menunjukkan 19,450 murid dikenal pasti menggunakan vape setakat Disember 2024, manakala kes penyakit paru-paru berkaitan vape atau E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI) turut dilaporkan di Malaysia.

Beliau menjelaskan, rawatan bagi pesakit EVALI menelan kos sebanyak RM150,892.11 bagi tempoh 12 hari di hospital, selain risiko kerosakan paru-paru kekal dan kematian.

“Kerajaan negeri seperti Kelantan telah melaksanakan larangan penjualan vape sejak 2015, malah Terengganu, Perlis, Kedah dan beberapa negeri lain juga berkomitmen menguatkuasakan larangan tersebut tahun ini.

“Hairannya, Selangor masih ragu-ragu untuk bertindak,” ujarnya.

Berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, 9 peratus rakyat Selangor menggunakan vape, iaitu satu kadar yang membimbangkan.

Walaupun Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta) 852 melarang pameran terbuka produk vape sejak 1 Oktober lalu, Faizzuddin berkata penjualannya masih berleluasa.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda Pas Selangor mendesak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya menghentikan pembaharuan lesen premis yang menjual vape. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast