Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 13 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Isu perbelanjaan untuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berasrama penuh mencetuskan perbahasan menarik di Dewan Rakyat hari ini apabila Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, mempersoalkan keutamaan peruntukan yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, Shahidan bertanyakan sama ada pemilihan kontraktor bagi projek pemasangan CCTV di 200 buah sekolah berasrama penuh dibuat secara tertutup atau terbuka, serta lokasi paling sesuai untuk elak kejadian buli tanpa menjejaskan privasi pelajar.

Beliau kemudian mempersoalkan mengapa kementerian hanya memperuntukkan RM3 juta untuk pemasangan CCTV, sedangkan perbelanjaan bagi pengedaran lencana Jalur Gemilang sebelum ini mencecah RM9 juta.

“Kalau untuk lencana Jalur Gemilang boleh belanja RM9 juta, kenapa tidak boleh tambah sedikit untuk CCTV yang boleh selamatkan pelajar daripada jadi mangsa buli?,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menjelaskan, kerajaan telah menambah peruntukan sebanyak RM5 juta lagi bagi memperluas pemasangan CCTV di 333 buah sekolah asrama tambahan, menjadikan keseluruhan 533 sekolah berasrama penuh akan dilengkapi sistem keselamatan berkenaan.

“Peruntukan asal RM3 juta telah digunakan untuk 200 sekolah, dan kerja-kerja pemasangan sedang berjalan. Dengan tambahan RM5 juta ini, lebih banyak sekolah akan dapat dilengkapi sistem pemantauan bagi menjamin keselamatan dan kebajikan pelajar,” katanya.

Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 11 OGOS 2025.

Menurut Ahli Parlimen Ipoh Timur itu, rakaman CCTV akan disimpan sekurang-kurangnya 30 hari, dengan akses hanya diberi kepada pegawai yang diberi kuasa di bawah garis panduan rasmi KPM.

Jelasnya, proses pelaksanaan pula dilakukan secara terbuka melalui sistem ePerolehan, berpandukan Pekeliling Perbendaharaan PK2.1.

“CCTV ini tidak akan dipasang di bilik tidur, tandas atau ruang persalinan pelajar. Sebaliknya, ia dipasang di kawasan strategik seperti laluan utama, tangga, koridor, dewan makan dan bilik prep. Kita akan sentiasa seimbangkan aspek keselamatan dan privasi pelajar,” tegasnya.

Kah Woh turut menjelaskan pemasangan CCTV ini mendapat khidmat nasihat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) bagi memastikan piawaian keselamatan dipatuhi.

Beliau dalam masa sama menolak dakwaan kerajaan mengabaikan aspek keselamatan demi program lain seperti pengedaran Jalur Gemilang dengan menegaskan bahawa semua inisiatif KPM dilaksanakan secara seimbang.

“Ini bukan satu zero-sum game (keuntungan satu pihak). Melaksanakan satu program tidak bermakna kita mengabaikan yang lain. Kedua-duanya penting keselamatan dan semangat patriotisme, janganlah ada pihak persoalkannya,” ujarnya.

Setakat ini, 149 daripada 200 sekolah dalam fasa pertama telah siap dipasang CCTV mencatat kemajuan 75 peratus dan dijangka baki sekolah akan disiapkan menjelang suku pertama 2026. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast