KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan ditahan semalam bagi membantu siasatan kes curi gitar jenis Gibson Les Paul Studio Electric bernilai RM8,000 di IOI Mall, Puchong pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian berlaku sekitar 5.45 petang ketika mangsa, seorang wanita berusia 31 tahun menyedari gitarnya hilang dari wagon simpanan selepas selesai membuat persembahan.
“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Serdang menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek semalam serta merampas barang kes bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Muhamad Farid, siasatan mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah dan narkotik lampau.
Suspek telah direman hingga 14 November 2025 untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, yang memperuntuk hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















