Antara barang yang dirampas dalam operasi polis di Dungun.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan individu yang disyaki terlibat beberapa siri kes pecah rumah di kawasan Paka dan Dungun telah berjaya ditumpaskan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) Dungun, Terengganu petang semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, empat individu yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita dengan lingkungan usia antara 30 hingga 64 tahun.

“Suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah dan narkotik lampau termasuk kes di bawah Kanun Keseksaan, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Pengangkutan Jalan 1959,” katanya dalam kenyataan di akaun rasmi Facebook IPD Dungun hari ini.

Tambah Maizura, operasi tersebut berjaya merampas 36 barangan pelbagai jenis seperti telefon bimbit, komputer riba, jam tangan berjenama, tablet grafik, barang kemas dan peralatan elektronik yang dipercayai berkait aktiviti jenayah.

Ujian saringan awal mendapati tiga daripada suspek positif dadah manakala seorang lagi negatif.

“Kesemua suspek telah mengaku bersalah dalam kes yang disiasat dan polis berjaya menyelesaikan tiga kes pecah rumah di Paka dan satu kes di Dungun.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya sentiasa peka terhadap keselamatan diri di kawasan rumah dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast