Anggota bomba melakukan kerja-kerja mencari mangsa yang hilang semasa menangkap ketam menaiki bot berhampiran Jeti Pantai Rambah, Pontian, hari ini.

PONTIAN – Seorang nelayan warga emas dikhuatiri lemas semasa menangkap ketam menaiki bot berhampiran Jeti Pantai Rambah di sini hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Hasnan Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 9.15 pagi.

“Berikutan itu seramai tujuh anggota dibantu sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Lelaki warga emas tersebut hilang semasa menangkap ketam dan pihak bomba hanya menemui bot nelayan miliknya di kawasan pokok bakau sekitar Pantai Rambah,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Hasnan berkata, mangsa masih belum ditemui sehingga kini dan operasi mencari dan menyelamat mangsa dibahagikan kepada dua sektor di kawasan mangsa hilang.

Menurutnya, kawasan pencarian sektor pertama dilakukan di kawasan daratan dalam radius satu hingga tiga kilometer dari Pantai Teluk Kerang ke arah timur laut iaitu lokasi terakhir mangsa.

Sementara kawasan pencarian sektor kedua katanya, dilakukan dalam radius 1 hingga 5 kilometer dari kawasan darat iaitu pencarian dari mangsa jatuh ke barat laut.

Tambahnya, operasi masih dilakukan sehingga petang ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast