Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat hari ini terus hangat apabila Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, bertindak ‘menyekolahkan’ beberapa Ahli Parlimen PAS, khususnya dari Sik dan Pendang yang masih mempertikaikan status kedaulatan negeri Pulau Pinang.

Ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Kementerian Pendidikan 2026, Rayer menegaskan bahawa Pulau Pinang ialah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia, sebagaimana diperuntukkan dengan jelas dalam Perkara 1(2) dan 1(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Saya minta supaya Ahli Parlimen dari PAS belajar sedikit undang-undang Perlembagaan. Perkara 1(2) dan 1(4) dengan jelas menyebut bahawa Pulau Pinang adalah salah satu negeri dalam Persekutuan Malaysia,” katanya dengan nada tegas.

Rayer dakwa Pulau Pinang mempunyai Perlembagaan sendiri dan tidak boleh dituntut oleh mana-mana pihak termasuk Kedah, sekali gus menolak dakwaan berterusan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen PAS.

“Pulau Pinang adalah negeri berdaulat, sebahagian daripada Malaysia dan tidak boleh dituntut oleh sesiapa,” katanya lagi.

Dalam perbahasan itu, Ahli Parlimen Pendang pula mencelah dengan menyatakan bahawa isu pajakan antara Kedah dan Pulau Pinang boleh diselesaikan melalui proses undang-undang.

“Bak kata Ketua Menteri Pulau Pinang, see you in court, jadi kita bawa ke perundangan,” katanya.

Terdahulu, pada sesi pagi ketika perbahasan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, isu sama turut mencetuskan kekecohan apabila Ahli Parlimen PAS sekali lagi membangkitkan dakwaan bahawa Pulau Pinang masih berada di bawah hak kesultanan Kedah.

Rayer ketika itu menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah negeri berdaulat dan sebarang dakwaan kononnya negeri itu masih tertakluk kepada mana-mana negeri lain termasuk Kedah adalah tidak berasas dan mengelirukan.

“Negara kita sudah merdeka selama 68 tahun, tetapi isu ini masih dimainkan. Sampai bila kita mahu terus membangkitkan perkara ini? Pulau Pinang mempunyai kerajaan sendiri, rakyatnya sendiri, bendera dan lagu negeri. Semua ini membuktikan Pulau Pinang ialah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.

Beliau turut menempelak kenyataan terbaharu Menteri Besar Kedah yang mendakwa Pulau Pinang dipajak daripada Kedah dan akan dituntut semula, sambil menyifatkannya sebagai polemik tidak berasas yang perlu dihentikan segera.

“Jangan jadikan isu ini bahan permainan politik atau sentimen kenegerian yang tidak membawa manfaat kepada rakyat,” tegasnya.

Rayer juga mencadangkan supaya sistem pemetaan sempadan negeri-negeri di Malaysia diperkukuh bagi memastikan kedudukan serta kedaulatan setiap negeri dapat dijelaskan dengan tepat dalam bahan pengajaran dan peta rasmi negara.

“Saya mohon pihak kementerian memastikan bahan pengajaran dan sistem pemetaan negara diperbetulkan supaya pelajar faham bahawa Pulau Pinang bukan sebahagian daripada mana-mana negeri lain,” katanya.

Menurut beliau, hubungan baik antara rakyat Kedah dan Pulau Pinang perlu terus dipelihara kerana kedua-dua negeri itu saling bergantung dari segi ekonomi dan peluang pekerjaan.

“Isu ini bukan soal politik tetapi soal fakta dan kedaulatan. Kita tidak mahu rakyat Pulau Pinang dan Kedah berpecah hanya kerana polemik yang tidak sepatutnya timbul,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, turut bersetuju dengan kenyataan Rayer dan mendakwa isu tuntutan terhadap Pulau Pinang sering dimainkan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kelemahan pentadbiran ekonomi kerajaan negeri Kedah. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast