KUALA LUMPUR – Pasukan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup produk kosmetik selepas mengesan kegiatan mencurigakan di bawah Jambatan Pulau Ular, Pengkalan Kubor, pada 11 November lalu.
Menurut PGA, dalam rondaan Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira jam 4.20 petang, anggotanya melihat seorang lelaki sedang memindahkan beberapa kotak dari sebuah perahu ke tebing sungai.
Namun, lelaki itu melarikan diri ke arah Thailand sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, ujarnya.
“Pemeriksaan lanjut menemui 12 kotak berisi 972 unit produk kosmetik jenama Arraya dan 1,080 unit jenama Tamarind Queen yang dipercayai untuk pasaran tempatan.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM89,000 dan diserahkan kepada Unit Farmasi Jabatan Kesihatan Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 7(1)(E) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. – MalaysiaGazette
















