KUALA LUMPUR – Seorang pegawai berpangkat Asisten Komisioner (ACP) telah mengetuai pasukan penyiasat khas yang akan menjalankan siasatan semula kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pasukan tersebut akan meneliti semula keseluruhan bahan siasatan terdahulu, termasuk laporan Suhakam dan hasil pasukan petugas khas, selain mendapatkan keterangan tambahan.
“Ini arahan mahkamah dan kerajaan menghormati prinsip kedaulatan undang-undang. Siasatan sebelum ini tidak pernah ditutup, tetapi kali ini ia disusun semula dan dipimpin pegawai ACP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH–Ledang) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Sehubungan itu, Saifuddin meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kes kehilangan dua individu ini untuk tampil membantu polis bagi mempercepatkan siasatan.
Pada 5 November lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi lebih RM3.26 juta kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin, dan lebih RM37 juta kepada isteri Koh, Susanna Liew selepas membenarkan saman terhadap kerajaan dan polis.
Amri dilaporkan hilang pada 24 November 2016, manakala Koh pada 13 Februari 2017. -MalaysiaGazette
















