Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Perbezaan jumlah pampasan dalam kes kehilangan Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh bukan berpunca daripada layanan berbeza.

Sebaliknya ia kerana asas tuntutan undang-undang yang tidak seragam dalam saman masing-masing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mahkamah menilai kedua-dua kes berdasarkan hujahan yang dibawa pihak plaintif, yang mana dalam kes pastor Koh menggunakan asas ‘kehilangan paksa’ seperti yang dinyatakan dalam dapatan Suhakam.

“Keluarga Amri tidak memasukkan elemen kehilangan paksa dalam tuntutan awal mereka, menyebabkan penghakiman pampasan yang diputuskan berbeza antara kedua-dua kes tersebut,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menyatakan bagi menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN–Jerlun) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mewujudkan undang-undang khusus untuk mentakrifkan kehilangan paksa sebagai satu kesalahan jenayah dan sama ada semua kes orang hilang perlu disiasat semula di bawah kerangka perundangan baharu.

Menurut Saifuddin, statistik menunjukkan majoriti laporan orang hilang dapat diselesaikan, dengan kira-kira 90 peratus kes berjaya dikesan semula sama ada hidup atau meninggal dunia dan hanya kira-kira 10 peratus kekal tidak ditemui, termasuk dua kes berprofil tinggi itu.

Tambah beliau, undang-undang sedia ada mencukupi, namun keputusan mahkamah dalam kes pastor Koh termasuk arahan membayar RM10,000 sehari sekiranya keberadaannya gagal dikemukakan membawa implikasi kewangan besar kepada kerajaan.

“Ini juga menyebabkan Peguam Negara membuat pertimbangan profesional untuk memfailkan rayuan namun keputusan itu tidak bermakna kerajaan cuba mengecilkan isu kehilangan atau mengabaikan nyawa manusia.

“Tetapi ini perlu memastikan setiap pindaan dan tindakan adalah seimbang antara tuntutan undang-undang dan kewangan negara,” ujarnya.

Saifuddin berkata, kerajaan tetap komited memastikan siasatan kedua-dua kes dijalankan tanpa campur tangan dan segala proses undang-undang dipatuhi.

Pada 5 November lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa siasatan polis dalam kes Amri tidak memadai dan memerintahkan pampasan RM3.3 juta dibayar kepada isterinya.

Dalam kes Pastor Koh, mahkamah menetapkan pampasan lebih RM37 juta dan mengarahkan polis melaporkan kemajuan siasatan setiap dua bulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast