Dr. Kamel Ariffin (kiri), bersama pasukan dengan Phison Electronics Corporation dan MaiStorage untuk membangunkan Kriptografi Atasi Zarah (KAZ-SIGN), di International Conference and Exhibition on Post-Quantum Cryptography (ICE-PQC 2025) baru-baru ini.

SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh keselamatan digital negara apabila memeterai kolaborasi strategik dengan Phison Electronics Corporation dan MaiStorage untuk membangunkan Kriptografi Atasi Zarah (KAZ-SIGN), teknologi tandatangan digital tahan kuantum pertama seumpamanya hasil penyelidikan tempatan.

Kerjasama ini diterajui oleh Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM), UPM, bagi meneroka potensi teknologi kuantum dalam perlindungan data dan komunikasi digital seiring dengan kemunculan komputer kuantum yang menuntut sistem keselamatan lebih kukuh dan kebal daripada godaman.

Pengarah PTPKM, Prof. Dr. Muhammad Rezal Datuk Dr. Kamel Ariffin, KAZ-SIGN berfungsi sebagai tanda tangan digital tahan kuantum (quantum-resistant digital signature) yang dibangunkan sepenuhnya menggunakan formula matematik hasil penyelidikan pasukan UPM.

“Teknologi ini membolehkan proses pengesahan, integriti dan ketidaksangkalan data dilaksanakan dengan selamat walaupun dalam persekitaran digital berteknologi tinggi.

“Matlamat kami ialah membina algoritma keselamatan nasional yang boleh digunakan oleh syarikat-syarikat besar seperti Google, Telekom dan institusi kewangan pada masa hadapan,” katanya.

Tambah beliau, projek ini bermatlamat membangunkan sistem keselamatan nasional yang mampu menangkis ancaman komputer kuantum.

“Bila kita bercakap tentang kriptografi, kita kena kembali kepada asas matematik. Matematik ini sebenarnya boleh dihidupkan bila diberi makna dan kriptografi menghidupkan matematik untuk satu tujuan penting keselamatan kuantum dan maklumat,” katanya.

Prof. Dr. Muhammad Rezal berkata, Phison dan MaiStorage dipilih sebagai rakan strategik kerana kepakaran global mereka dalam teknologi mikropengawal (microcontroller) serta komitmen untuk mengintegrasikan inovasi tempatan dalam bidang kriptografi kuantum.

“Mereka bukan sekadar ada teknologi cip tetapi juga kesediaan untuk memanfaatkan algoritma keselamatan yang dibangunkan di UPM. Kolaborasi ini menyatukan kekuatan matematik tempatan dengan teknologi global bagi melahirkan penyelesaian keselamatan data buatan Malaysia,”katanya.

Sementara itu, kolaborasi ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem keselamatan digital nasional yang mampan, meletakkan UPM sebagai peneraju penyelidikan kriptografi pasca-kuantum di rantau ini sejajar dengan aspirasi Malaysia menuju Negara AI dan Kuantum 2030. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast