KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kelantan memandang serius terhadap dakwaan yang diviralkan tanpa asas kukuh berkenaan tahap kecintaan terhadap tanah air dalam kalangan anak-anak yang sedang mengikuti aliran pondok di Kelantan.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, pada hakikatnya pelbagai program telah disusun oleh kerajaan negeri termasuk dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Pondok Berhad terhadap kefahaman kenegaraan melalui silibus pengajian dan aktiviti bersesuaian.
Bahkan, ujar beliau, di sesetengah pondok, mereka mengadakan daurah sejarah kegemilangan ulama pondok yang menyemarakkan penentangan terhadap penjajah dan cintakan kemerdekaan negara bagi mengekalkan semangat juang hubbul watan.
Jelasnya, generasi pondok hari ini kekal konsisten dengan aliran ilmu tradisional, juga masih mengekalkan tradisi menyanggah penjajahan moden dan menyubur semangat cintakan negara melalui pengajian secara langsung atau tidak langsung.
Tambah beliau, melalui pendekatan tarbiah, tradisi talaqqi secara tidak langsung menerapkan nilai kefahaman yang mendalam terhadap kedaulatan negara termasuk nilai kenegaraan dan prinsip rukun negara.
“Cuma ia disusun mengikut kesesuaian watak dan aliran pengajian para pelajar secara lebih cermat.
“Tidak seperti pelajar aliran perdana yang lebih bebas dan terbuka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, sebuah akhbar melaporkan kenyataan Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Pejabat Perdana Menteri Kelantan, Zuryati Zakaria yang mendapati kebanyakan pelajar pondok kurang terdedah kepada program kenegaraan kerana kebanyakan aktiviti seumpamanya hanya dijalankan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), MARA dan Jakim.
Bagaimanapun, laporan itu bagi versi online media terbabit sudah diturunkan.
Dalam pada itu, Mohd Asri berkata, sejarah Pondok Kelantan sarat dengan kegemilangan yang memberikan nilai signifikan dengan kemerdekaan Tanah Melayu.
Ujarnya, penglibatan ulama pondok dalam membawa idea kemerdekaan dan penentangan terhadap penjajah bukan bersifat rahsia.
Menurut beliau, perjuangan mereka atas ketinggian ilmu yang diajar dan diamalkan membawa kepada utuhnya jati diri cintakan negara dan tanah air serta ianya masih kekal hingga ke hari ini.
“Ini sudah tentu berbeza dengan acuan kenegaraan sebagaimana yang dinyatakan oleh Pengarah Akademi di bawah Pejabat Perdana Menteri mengenai aliran pendekatan dalam memahami cinta tanah air,” katanya. – MalaysiaGazette
















