Ketua Penerangan AMK Sabah, Mohd Nur Hilmie Milus

KOTA KINABALU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah mengecam kenyataan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria yang didakwa menghina rakyat Sabah dengan menyatakan bahawa ‘Orang Sabah kempen dia bagi roti Gardenia sahaja’.

Ketua Penerangan AMK Sabah, Mohd Nur Hilmie Milus berkata, kenyataan itu dianggap biadab, menyinggung rakyat Sabah, dan mencerminkan sikap angkuh serta tidak menghormati masyarakat negeri itu.

“Kenyataan dangkal dan menghina ini bukan sahaja menyinggung perasaan rakyat Sabah secara keseluruhannya, malah mencerminkan sikap angkuh, tidak berakhlak dan tiada rasa hormat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria yang didakwa mengeluarkan kenyataan ‘Orang Sabah tu kempen dia bagi roti Gardenia ja’.

Bagaimanapun beliau telah memohon maaf dan menarik balik kenyataan  dibuat pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, kelmarin selepas dikritik pelbagai pihak.

Menurut Mohd Nur Hilmie, ucapan sedemikian tidak sepatutnya keluar daripada seorang wakil rakyat yang diamanahkan menjaga keharmonian serta perpaduan nasional.

Tambah beliau, penduduk Sabah adalah sebahagian daripada keluarga Malaysia yang bermaruah dan berpendidikan, serta kenyataan sebegitu hanya mengukuhkan stereotaip negatif dan menimbulkan rasa terhina dalam kalangan mereka.

“AMK Sabah tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana bentuk penghinaan atau perlecehan terhadap rakyat Sabah,” ujarnya. – MalaysiaqGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast