Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – UMNO Kedah menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok agar Pulau Langkawi diserahkan kepada kerajaan Persekutuan sebagai tindakan yang tidak menghormati tanah jajahan takluk di bawah naungan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, cadangan itu turut dianggap tidak sensitif serta menyinggung perasaan rakyat negeri tersebut.

“UMNO Kedah menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Seputeh itu tidak menghormati Tuanku Sultan Kedah selaku Raja yang memerintah Kedah yang menaungi segala tanah jajahan takluknya dan juga rakyat Kedah secara keseluruhannya.

“Beliau sewajarnya lebih peka dan sensitif dalam setiap apa yang hendak dibicarakan walau di mana-mana platform sekalipun di dalam Dewan Rakyat yang mempunyai imuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahdzir berkata, Teresa tidak seharusnya mengemukakan cadangan yang menyentuh institusi berkaitan Sultan atau Raja di negara ini, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan hak milik tanah jajahan.

“Perkara seumpama itu tidak boleh sewenang-wenangnya dibicarakan secara terbuka kerana ianya melibatkan martabat Tuanku Sultan Kedah yang menaungi tanah jajahan takluk pulau itu.

“Hal yang berkaitan tanah jajahan takluk Tuanku Sultan itu bukannya seperti urusan mengambil buah kelapa gugur di tepi jalan yang tiada pemilik, tetapi ini soal kedaulatan yang tidak ada kompromi,” tegasnya.

Sehubungan itu, UMNO Kedah menggesa Teresa membuat permohonan maaf secara terbuka kerana didakwa telah mengguris hati seluruh rakyat negeri Kedah.

“Isu pembangunan Pulau Langkawi boleh diselesaikan menerusi pelbagai cara lain dan bukannya secara diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan.

“Di Langkawi sudah ada agensi kerajaan Persekutuan yang bertanggungjawab iaitu Lembaga Pembangunan Langkawi atau LADA yang hanya perlu diperkasakan lagi peranannya untuk memajukan pelbagai potensi di pulau itu dan Langkawi tidak perlu pun diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan,” kata Mahdzir.

Semalam, Teresa mengkritik kerajaan Kedah pimpinan Pas yang didakwanya gagal membangunkan Pulau Langkawi, sebaliknya bercita-cita mahu mengambil alih Pulau Pinang.

Beliau berkata, Langkawi yang kaya dengan potensi pelancongan sepatutnya dimajukan dengan lebih baik sekiranya diurus kerajaan Persekutuan.

Teresa turut mencadangkan agar kerajaan Pusat mentadbir Pulau Langkawi sebagai Wilayah Persekutuan atau Zon Antarabangsa bagi memastikan pembangunan pelancongannya lebih terancang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast