JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mencadangkan empat langkah dalam memperjuang hak serta kebajikan bekas isteri dan anak-anak selepas penceraian supaya tidak terabai.
Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman berkata, ini kerana kes perceraian semakin meruncing di negeri ini yang memberi kesan antaranya melibatkan isu hak penjagaan anak dan kegagalan sesetengah bapa menunaikan nafkah seperti diperintahkan Mahkamah Syariah.
“Situasi ini bukan sahaja mencetuskan tekanan emosi kepada ibu dan anak-anak, tetapi turut memberi kesan langsung kepada kesejahteraan sosial masyarakat Johor secara keseluruhan.
“Kami menerima aduan masih ramai ibu tunggal terpaksa memikul tanggungjawab membesarkan anak tanpa sokongan nafkah yang sepatutnya, manakala proses tuntutan hak penjagaan pula kerap memakan masa dan memenatkan,” katanya dalam kenyataan.
Keadaan itu ujarnya, tidak boleh dibiarkan berlarutan dan nasib anak-anak malang itu mesti menjadi keutamaan dan mana-mana pihak yang cuai dalam tanggungjawab perlu dikenakan tindakan tegas.
Sehubungan itu, beliau berkata, Pejuang Johor menggesa agar beberapa langkah segera dilaksanakan iaitu pertamanya dengan penguatkuasaan pemberian nafkah yang lebih tegas.
Kerajaan negeri dan agensi berkaitan katanya, perlu memperkukuh mekanisme penguatkuasaan terhadap bapa yang gagal membayar nafkah.
Tegas beliau, antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah pembekuan akaun, sekatan perjalanan atau potongan gaji automatik melalui institusi kewangan dan majikan.
Kedua kata Suraya, mempercepatkan proses tuntutan hak penjagaan dengan sistem perundangan syariah perlu diperhalusi agar ibu atau bapa tidak terus terbeban dengan proses teknikal yang meleret.
“Anak-anak berhak kepada kestabilan dan kepastian, bukan menunggu bertahun-tahun untuk keputusan muktamad,” ujarnya.
Beliau memberitahu, ketiga pula dengan menubuhkan unit sokongan psikososial khas di Johor bagi meredakan tekanan emosi.
“Pejuang Johor mencadangkan sebuah unit bantuan psikologi dan kaunseling untuk anak-anak dan ibu bapa yang melalui fasa perceraian agar emosi mereka dapat dipantau dan dibantu secara profesional.
“Keempat pula dengan pendidikan kewajipan nafkah dalam masyarakat. Kempen menyedarkan masyarakat bahawa nafkah bukan pilihan tetapi tanggungjawab agama dan undang-undang,” ujarnya.
Tambah beliau, kegagalan menunaikannya adalah satu bentuk pengabaian yang memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan anak.
Suraya berpendapat, isu perceraian bukan sekadar pertikaian antara suami dan isteri yang sudah berpisah tetapi itu adalah isu masa depan generasi.
Anak-anak yang membesar dengan tekanan kewangan dan emosi akibat kecuaian ibu bapa akan membawa kesan kepada pembangunan sosial negeri, katanya.
“Pejuang Johor akan terus mendesak agar dasar dan sistem yang melibatkan keluarga, anak-anak dan nafkah diperketatkan,” tambah beliau.
Pihaknya yakin dengan tindakan tegas dan pembaharuan menyeluruh, kesejahteraan keluarga di Johor dapat diperkukuhkan semula.- MalaysiaGazette
















