Salah seorang tertuduh (berbaju hitam) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan mengunakan peralatan tidak sah sehingga mengganggu rangkaian telekomunikasi. FOTO MOHD ADZLAN, 14 NOVEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Penggunaan peralatan dan radas tidak sah boleh menyebabkan gangguan elektromagnetik besar sehingga merosakkan kualiti perkhidmatan telekomunikasi di kawasan terkesan selain penerimaan mesej spam.

Perbuatan itu antaranya menyebabkan pengguna menerima isyarat 2G ketika berada di kawasan 4G, panggilan terputus dan menghadapi masalah mengakses internet.

Pengunaan peralatan tertentu dan radas boleh dikenakan tindakan kerana ia merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia 2000.

Sehubungan itu, dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen semalam atas pertuduhan menggunakan kelengkapan komunikasi tidak diperakui dan radas yang menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan rangkaian syarikat telekomunikasi.

Hakim Suhaila Haron menjatuhkan hukuman denda RM20,000 masing-masing terhadap pemandu e-hailing Dennelson Mawon, 32, dan Loke Choo Seong, 35, selepas mereka mengaku bersalah atas dua pertuduhan itu.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda. Mereka membayar denda itu.

Dennelson didakwa menggunakan kelengkapan komunikasi, iaitu satu unit GSM Gateway yang tidak diperakui di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 di dalam kereta di tepi Lebuhraya Kajang-Cheras, di hadapan sebuah pusat beli-belah di Cheras, di sini pukul 11.20 pagi pada 20 Jun 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 16 (1)(b) Peraturan-Peraturan sama yang memperuntukkan denda maksimum RM300,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dennelson turut didakwa menggunakan radas sama sehingga menyebabkan gangguan elektromagnetik besar, menjadikan perkhidmatan rangkaian sebuah syarikat telekomunikasi di kawasan berkenaan terganggu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Choo Seong didakwa bersubahat dengan Dennelson atas kesalahan terbabit yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman serupa.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Nadzirah Idris memohon hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh dengan mengambil kira hubungan komunikasi ialah perkara penting pada masa ini.

“Kedua-dua tertuduh menggunakan radas GSM Gateway yang telah menyebabkan gangguan elektromagnetik besar menyebabkan kualiti perkhidmatan Maxis terganggu.

“Perbuatan itu menyebabkan pengguna menerima isyarat 2G ketika berada di kawasan 4G, mesej spam, panggilan terputus semasa membuat panggilan serta pengguna juga tidak boleh melayari Internet,” katanya.

Peguam Shameera Abdul Hamid yang mewakili dua lelaki itu memohon hukuman denda atas alasan kedua-dua anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan sentiasa memberikan kerjasama baik dengan pihak SKMM.

“Pihak pembelaan juga memohon supaya hukuman pemenjaraan dikecualikan dan mohon hukuman denda kerana mereka masih bujang dan menanggung keluarga,” kata peguam itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast