TANGKAP layar video insiden kekecohan yang tercetus ketika aksi suku akhir kedua Piala FA antara Selangor dan Negeri Sembilan di Stadium MBPJ, baru-baru ini. - Foto: FB SELANGOR SOCCER FAN CLUB - SSFC

KUALA LUMPUR – Selangor Soccer Fan Club (SSFC) menggesa semua pihak khususnya para penyokong sukan bola sepak mengambil iktibar daripada insiden kekecohan yang tercetus ketika aksi suku akhir kedua Piala FA antara Selangor dan Negeri Sembilan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, SSFC berkata, mereka yang terlibat perlu sedar bahawa perbuatan sedemikian adalah tidak bermoral, tidak berfaedah dan hanya merugikan pasukan yang mereka wakili.

Dalam masa sama, tambahnya, pihak berkuasa serta badan bola sepak berkaitan juga diharapkan dapat menjalankan siasatan dengan telus, agar tindakan sewajarnya dapat diambil demi mengekalkan integriti sukan bola sepak negara.

“Kelab SSFC ingin menegaskan pendirian tegas kami dalam menentang segala bentuk vandalisme, provokasi dan pergaduhan dalam kalangan penyokong bola sepak khususnya ketika perlawanan berlangsung di dalam stadium.

“Perbuatan tidak beradab ini bukan sahaja mencemarkan imej kelab dan sukan, malah mengancam keselamatan penyokong lain serta menggugat kelancaran penganjuran pertandingan,” katanya.

Semalam, media melaporkan Selangor FC dikenakan hukuman beraksi dua perlawanan tanpa penonton bagi saingan Piala FA dan didenda RM100,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu memaklumkan, hukuman berkenaan diputuskan dalam mesyuarat khas kali pertama bagi penggal 2025-2029, membabitkan insiden yang berlaku ketika aksi suku akhir kedua Piala FA antara Selangor dan Negeri Sembilan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 29 Oktober lalu.

Sementara itu, SSFC berkata, pihaknya komited untuk terus menyokong usaha mewujudkan suasana stadium yang lebih selamat, harmoni dan penuh semangat kesukanan.

“Kami percaya bahawa sokongan yang berdisiplin dan matang adalah asas kepada pembangunan bola sepak yang lebih maju dan profesional,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast