KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy berpandangan isu dan masalah utama MIC bukanlah hubungan dengan UMNO dalam Barisan Nasional (BN), sebaliknya sokongan daripada masyarakat India.
Menurutnya, selama bertahun-tahun, sokongan masyarakat India telah beralih daripada MIC kepada parti-parti seperti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memainkan sentimen pelbagai kaum secara sintetik.
Jelas beliau, sekiranya MIC mempunyai sokongan kukuh dalam kalangan masyarakat India, UMNO dinilai tidak berani untuk meminggirkan MIC dan MCA dalam BN.
“Tambahan pula, UMNO bukan lagi parti hegemonik Melayu seperti dahulu.
“UMNO dalam keadaan lemahnya sukar memenuhi beberapa tuntutan MIC.
“MIC mungkin rakan setia dalam gabungan BN tetapi malangnya tanpa asas sokongan, sukar untuk parti itu diberikan penghormatan dan martabat seperti dahulu,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, Perhimpunan Agung Tahunan MIC memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada untuk kekal dalam BN atau keluar dari gabungan itu dan menyertai Perikatan Nasional (PN) seperti desas-desus sebelum ini.
Perwakilan MIC juga bersetuju untuk menyerahkan kepada Presiden, Tan Sri S.A. Vigneswaran serta Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti untuk membuat keputusan itu.
Sementara itu, Ramasamy berkata, pemimpin MIC sedar bahawa menyertai PN mungkin bukan penyelesaian kepada semua masalah yang sedang dihadapi parti itu.
Secara simbolik, tambah beliau, ia mungkin satu keuntungan untuk PN, namun bagaimana untuk MIC akan bertahan dalam dunia politik pembangkang masih menjadi persoalan.
“MIC kini berada di antara dua situasi yang sukar, bagai diluah mati emak, ditelan mati bapa.
“Tidak tertanggung lagi bagi MIC untuk kekal dalam BN dengan keadaan kekurangan penghormatan dan martabat,” katanya.
Tambah Ramasamy, pemimpin MIC mahu dilihat seperti terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk sepenggal, namun Anwar pula tidak menunjukkan sebarang kepedulian terhadap MIC.
Dalam masa sama, jelasnya, akar umbi MIC tidak teragak-agak supaya parti itu menyertai PN, namun kepimpinan MIC masih gagal membuat keputusan sehingga kini.
“Sehinggalah MIC berjaya mendapatkan kembali sokongan masyarakat India, masa depannya kekal tidak menentu, terumbang-ambing antara gabungan pemerintah dan pembangkang,” katanya. – MalaysiaGazette
















