ISKANDAR PUTERI – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa agar Exco membuat lawatan mengejut ke sekolah tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Kementerian Pendidikan (KPM).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu berkata, langkah tersebut penting untuk melihat keadaan sebenar di sekolah termasuk aspek keselamatan dan disiplin
Bekas Timbalan Menteri Pendidikan itu seterusnya memberikan contoh ketika melawat sebuah sekolah di Terengganu yang disifatkan mempunyai prosedur keselamatan terhadap pelawat yang baik.
“Saya pernah melawat sebuah sekolah di Terengganu sebelum ini dan tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan sehingga namanya direkodkan terlebih dahulu.
“Itu satu contoh yang baik dalam memastikan keselamatan sekolah terjaga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin (BN- Tanjung Surat) menjawab soalan mengenai Karakter Murid Johor (KRMK) dan kesan kempen anti buli pada sidang DUN Johor di Kota Iskandar hari ini.
Sementara itu Aznan berkata, kerajaan negeri melalui pelaksanaan Modul Karakter Murid Johor (KRMJ), kolaborasi rentas agensi bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan.
“Negeri Johor juga telah menubuhkan jawatankuasa khas ’Johor Safe Zone’ yang melibatkan beberapa beberapa potfolio Exco Johor dalam memastikan sekolah di negeri ini adalah tempat yang selamat.
“Langkah-langkah ini turut disokong oleh bimbingan berterusan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) melalui sesi latihan, taklimat pelaksanaan serta pemantauan berkala,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















