KUALA LUMPUR – Sebanyak 19 koperasi menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM7,467,019.06 kepada Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dalam satu majlis di sini hari ini.
Penyerahan bagi haul 2024 dan 2025 itu menampilkan koperasi daripada pelbagai sektor di Wilayah Persekutuan sebagai tanda komitmen mereka menunaikan zakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar menyifatkan jumlah tersebut sebagai pencapaian membanggakan.
“Pencapaian ini memberi sinar harapan kepada golongan asnaf.” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua koperasi yang menunaikan zakat serta menegaskan bahawa ibadah itu membantu masyarakat yang memerlukan.
“PPZ-MAIWP telah mengutip RM817.8 juta zakat sehingga Oktober, meningkat 9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu” ujarnya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengerusi Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Amrin Awaluddin.
Menurutnya, jumlah itu akan terus meningkat menjelang akhir tahun, sekali gus memperkukuh usaha membantu lebih ramai asnaf di Wilayah Persekutuan.
PPZ-MAIWP menzahirkan penghargaan kepada semua pembayar zakat dan menyatakan komitmen untuk memastikan setiap kutipan diagihkan kepada golongan yang berhak secara telus dan berkesan. – MalaysiaGazette
















