KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Terengganu tidak akan menzalimi atau berbalah dengan sesiapa dalam penyelesaian berkenaan isu pemilikan tanah-tanah ladang Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di negeri itu.
Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Kelestarian dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri hanya menuntut apa yang menjadi hak rakyat dan Terengganu.
Menurut beliau, menjelang tarikh 29 November ini di mana tindakan susulan akan diambil, kerajaan negeri kerap diajukan persoalan khususnya tentang masa depan pekerja ladang Felda Global Ventures (FGV).
Bagaimanapun, ujarnya, kerajaan negeri tidak boleh mencampuri atau mengulas apa-apa berkenaan nasib pekerja berkenaan sekarang memandangkan mereka masih mempunyai majikan.
Sehubungan itu, tambanya, pihak majikan perlu memberikan penjelasan bagi meredakan keresahan dalam kalangan pekerja berkenaan.
“Kerajaan Negeri belum sita ladang. Felda masih ada ruang masa 10 hari lagi untuk memberikan respon kepada tuntutan Kerajaan Negeri,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau, hari ini.
Sementara itu, Azman berkata, dalam menyusun langkah penyelesaian kepada isu besar tersebut, kerajaan negeri telah menyediakan satu pelan bertindak yang lengkap dengan mengambil kira segala kemungkinan.
“Kita telah bersedia dengan worst case scenario (senario terburuk). Maka tentu sekali nasib pekerja juga telah kita perkirakan.
“Tetapi kita tak mahu mendahului waktu. Sampai masa kita akan bertindak bila perlu,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan tidak akan berganjak daripada tarikh 29 November ini untuk mengambil tindakan tegas, termasuk menyita hampir 15,000 hektar tanah milik kerajaan negeri yang telah dibangunkan tanpa hak milik sah sejak tahun 1985 Felda.
Azman berkata, tindakan itu bakal diambil berikutan kegagalan Felda menyelesaikan isu terbabit yang telah dirunding bersama berapa tuntutan sebelum ini.
Ujarnya, kerajaan negeri menuntut 30 peratus daripada keuntungan kasar (gross profit) hasil ladang yang dibangunkan Felda di empat daerah iaitu Kemaman; Dungun; Marang dan Setiu, sebagai syarat utama sebelum sebarang hak milik tanah diberikan.
Dakwanya lagi, Felda telah menikmati hasil tanah berkenaan selama 40 tahun tanpa membayar premium dan cukai tanah menyebabkan kerajaan negeri kehilangan hasil kira-kira RM600 juta termasuk cukai, premium dan keuntungan perkongsian. – MalaysiaGazette
















