Calon Pakatan Harapan Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin hadir beramah mesra bersama penduduk pada sesi walkabout sempena Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 ketika di kampung Torong Logong, Pulau Gaya, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 19 NOVEMBER 2025.

 

KOTA KINABALU – Masalah bekalan air bersih yang membelenggu lebih 4,117 pengundi berdaftar sekitar Pulau Gaya di sini diyakini mampu diatasi sekiranya penggunaan teknologi penapisan air laut diperluaskan di kawasan itu.

Calon Pakatan Harapan N.22 Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin berkata, ini pernah dilakukan anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah, Jetama Water Sdn Bhd di Pulau Berhala, Sandakan.

“Kalau projek ini buat di Pulau Berhala, saya rasa tak ada isu kalau kita nak minta kerajaan negeri melalui GLCnya, Jetama Water untuk mengkaji pelaksanaan projek ini dekat sini (Pulau Gaya).

“Ketika ini, bekalan air di sini bergantung kepada penyaluran air melalui paip dari tanah besar (Kota Kinabalu). Masalah sekarang tekanan air tidak konsisten, ia menimbulkan masalah ketidaktentuan bekalan air ke Pulau Gaya.

“Untuk mengatasi masalah ini, saya mencadangkan kepada kerajaan negeri yang bakal dibentuk boleh mengkaji penapisan air laut,” katanya kepada pemberita ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) di Pulau Gaya, di sini, hari ini.

Terdahulu Foong Hin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi menghadiri Program Taklimat Kesedaran Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Kampung Torong Logong, Pulau Gaya.

Menurut Foong Hin, beliau sedia membawa jentera teknologi penapisan air laut ke Pulau Gaya sekiranya beliau diberikan kepercayaan dan mandat di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUA) Tanjung Aru pada 29 November ini.

“Sekiranya tuan puan memberikan mandat kepada saya sebagai wakil rakyat di sini, saya akan membawa jentera (tapis air laut) ke Pulau Gaya bagi menyelesaikan masalah air yang tidak selesai sejak puluhan tahun lamanya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast