Dr Mohd Shafry menyampaikan ijazah dan diploma dalam Majlis Konvokesyen UTM Ke-69, di Dewan Sultan Iskandar, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini berada pada kedudukan ke-153 QS World University Rankings 2026 sekali gus menempatkannya dalam 10 peratus terbaik dunia.

Naib Canselor UTM, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, pada masa yang sama univerisiti tersebut menduduki tangga ke-25 di Asia.

Beliau memberitahu, UTM kini sebagai peneraju agenda Kecerdasan Buatan (AI) negara dan berada dalam kedudukan 100 teratas dalam bidang AI dan Data Sains.

“Ini termasuk dalam bidang Kejuruteraan Mineral dan Alam Bina. Namun, kejayaan kita tidak diukur pada angka semata-mata, sebaliknya juga pada impak.

“Sebagai contoh, Projek Bangsa Johor Bahagia yang turut mendapat sentuhan langsung Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, menjadi program yang telah membawa perubahan besar buat komuniti di negeri Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UTM Ke-69, di Dewan Sultan Iskandar di sini hari ini.

Dr Mohd Shafry berkata, UTM turut mencatat Kadar Bekerja Graduan dan Kebolehpasaran Graduan 100 peratus bagi tahun 2024.

Malah katanya, sebahagian graduan UTM terbabit sudah pun memperoleh pendapatan premium.

Selain itu katanya, UTM meraih kejayaan di peringkat antarabangsa termasuk pertandingan hafazan al-Quran, ABU Asia-Pacific Robot Contest (ABU ROBOCON) dan International Rocket Engineering Competition di Texas, Amerika Syarikat.

Seramai 7,156 graduan menerima ijazah masing-masing pada majlis berkenaan meliputi,732 Ijazah Doktor Falsafah, 1,476 Ijazah Sarjana,4,233 Ijazah Sarjana Muda, 658 Diploma dan 57 Diploma Eksekutif.

Daripada jumlah itu, 1,195 merupakan graduan antarabangsa dari 57 negara.

Sehingga kini, UTM telah melahirkan 238,993 graduan, termasuk 13,645 graduan antarabangsa dari lebih 100 negara.

Majlis turut menyaksikan penganugerahan Doktor Kehormat kepada tokoh diplomatik dan akademik Jepun, Masahiko Horie, yang juga mantan Duta Besar Jepun ke Malaysia.

Selain itu, empat tokoh akademik menerima penganugerahan Profesor Emeritus atas sumbangan profesional dan khidmat bakti kepada universiti dan negara, iaitu Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, Prof Datuk Dr Mohd Tajuddin Md Ninggal, Dr Awaluddin Mohamed Shaharoun, Prof Dr Ghazali Sulong.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast