Gambar hiasan

PEMERKASAAN komuniti bukan sekadar slogan yang indah didengar, tetapi merupakan usaha berterusan yang memerlukan komitmen, kepakaran, dan strategi berkesan. Secara amnya, University Social Responsibility (USR) dan Knowledge Transfer Programme (KTP) merupakan inisiatif oleh institusi pendidikan tinggi merujuk kepada komitmen sesebuah universiti untuk melaksanakan aktiviti, program, dan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat, melangkaui fungsi tradisional pengajaran dan penyelidikan.

USR menekankan penglibatan aktif universiti dalam menyelesaikan masalah sebenar komuniti melalui kepakaran akademik dan penyelidikan, memindahkan ilmu, kemahiran, dan teknologi kepada masyarakat dan memperkasa komuniti dari segi ekonomi, sosial, pendidikan, kesihatan, dan alam sekitar. Pemindahan ilmu pula merangkumi pelbagai bentuk, termasuk latihan teknikal, pembangunan keusahawanan, inovasi produk, dan penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan produktiviti serta daya saing. USR dan KTP juga mewujudkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak untuk pembangunan mampan.

Dengan kata lain, USR dan KTP ialah usaha universiti untuk menjadi ejen perubahan sosial dan pembangunan komuniti secara berterusan dan bertanggungjawab. Berdasarkan Laporan Statistik Kemiskinan Nasional sehingga 30 Jun 2025, Kelantan merekodkan jumlah kemiskinan tertinggi di Malaysia bersama Sabah dan Sarawak, dengan 349 Ketua Isi Rumah (KIR) tergolong dalam kategori miskin tegar dan 58,995 KIR dalam kategori miskin, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 59,344 KIR.

Keadaan ini mencerminkan cabaran sosioekonomi yang serius, khususnya di kawasan luar bandar yang mendominasi demografi negeri, ramai isi rumah masih berpendapatan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM1,198 bagi miskin tegar dan RM2,589 bagi miskin. Justeru, pelaksanaan program berimpak tinggi seperti USR dan KTP menjadi amat relevan sebagai intervensi strategik.

Ia  bukan sahaja untuk memberikan bantuan segera, tetapi juga  membangunkan kapasiti, memperluas peluang pekerjaan, meningkatkan akses pendidikan, serta memperkasa ekonomi komuniti setempat, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bantuan dan memperkukuh daya saing negeri. Dalam konteks ini, universiti juga berperanan rakan strategik yang membantu membangunkan komuniti.

Universiti Teknologi MARA (UiTM), khususnya UiTM Cawangan Kelantan, telah lama mengorak langkah melalui pelaksanaan USR dan KTP bagi memindahkan kepakaran, teknologi dan inovasi terus kepada masyarakat. Sejak beberapa tahun yang lalu, UiTM Cawangan Kelantan telah giat melaksanakan pelbagai inisiatif komuniti yang memberi impak positif kepada masyarakat.

Ia merangkumi program pembangunan kemahiran, pemerkasaan ekonomi, pendidikan, kesedaran kesihatan, seni dan kelestarian alam sekitar. Usaha-usaha ini bukan sahaja memperkenalkan pendekatan yang lebih inovatif dan efisien, malah turut memperkukuh penjenamaan institusi, memperluas jaringan kerjasama, serta membuka peluang pasaran dan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

Berdasarkan hala tuju dan aspirasi yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, pendidikan tinggi di Malaysia bukan sahaja berperanan sebagai pemacu ekonomi, tetapi juga menjadi tunjang pembinaan masyarakat yang berilmu, beretika dan progresif, selaras dengan nilai Malaysia Madani. Komitmen ini turut ditekankan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, yang menegaskan universiti perlu mewujudkan persekitaran inklusif, yang mana masyarakat daripada pelbagai latar belakang dapat belajar bersama dan saling berkongsi ilmu melalui dasar dan kerjasama yang mengutamakan akses, kolaborasi, dan saling menghormati.  “Pendidikan tinggi bukan sahaja pemacu ekonomi, tetapi juga tunjang pembinaan masyarakat yang berilmu, beretika dan progresif,” ujar beliau dalam mendukung hala tuju RMK13 berteraskan nilai Malaysia Madani.

Antara kesan positif daripada pendekatan ini termasuk peningkatan taraf hidup peserta, pengurangan jurang kemahiran antara bandar dan luar bandar, pemeliharaan warisan budaya tempatan melalui inovasi, serta pengukuhan ekonomi setempat. Namun, bagi memastikan kesinambungan, cadangan seperti memperluas kerjasama industri, menyediakan platform pemasaran digital khusus untuk produk komuniti, dan mewujudkan pusat inovasi setempat yang diurus bersama universiti dan komuniti perlu dipertimbangkan.

Jelaslah, pemerkasaan komuniti melalui USR dan pemindahan ilmu bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial universiti, tetapi juga melakar perubahan sebenar dalam kehidupan masyarakat. Dengan sokongan pelbagai pihak, UiTM berpotensi terus menjadi peneraju dalam membina komuniti yang berdaya saing, inovatif dan lestari, seiring dengan aspirasi Malaysia Madani yang menitikberatkan kesejahteraan semua lapisan rakyat.

 

Oleh: Dr. Wan Noraswaniaty Wan Ahmad, oordinator ICAN/Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Kelantan

 

 

Dr. Siti Rosnita Sakarji, Penyelaras Unit Jaringan Komuniti/Pensyarah Kanan, UiTM Cawangan Kelantan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast