KUALA LUMPUR – Walaupun diuji dengan konflik berterusan antara Israel dan Palestin yang menghalangnya pulang ke tanah air, Majed F.S. Habib, pelajar Doktor Falsafah (PhD) di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), tidak pernah berputus asa.
Berkat kesabaran, kecekalan dan ketekunan yang tinggi, Majed berjaya menamatkan sesi viva voce semalam, sekali gus bakal mengakhiri perjalanan akademiknya di Malaysia.
Kajian PhD yang dijalankan Majed meneliti kandungan laporan akhbar dalam talian mengenai perang Gaza 2023 serta persepsi pengguna terhadap pemaparan berita dalam laman web tersebut.
Penyelidikan itu menyumbang kepada perkembangan ilmu dalam bidang kewartawanan, khususnya berkaitan kewartawanan perang dan konflik, satu bidang yang jarang diterokai.
Majed berkata, antara cabaran paling berat yang hampir mematahkan semangatnya ialah ketika bapanya meninggal dunia dalam salah satu siri pengeboman oleh tentera Israel.
Menurutnya, beliau pada ketika itu hampir berputus asa dan bertekad untuk pulang ke Palestin.
Namun ujarnya, berkat sokongan berterusan daripada keluarganya di Gaza serta warga Pusat Pengajian Komunikasi USM, beliau memilih untuk kekal dan meneruskan perjuangannya dalam bidang pendidikan.
Beliau yang tampil dalam salah satu episod audio siar (podcast) Penyelidikan ComMinds Pusat Pengajian Komunikasi turut menyuarakan penghargaan mendalam terhadap penyelianya, Dr. Rani Ann Balaraman, yang sentiasa memberikan dorongan, nasihat dan kata-kata semangat sepanjang perjalanan pengajiannya.
“Sepanjang proses menyiapkan kajian saya, tekanan emosi yang saya hadapi sangat hebat, terutama setiap kali saya mendengar berita tentang negara saya yang dibedil oleh tentera Israel.
“Fikiran saya sering melayang kepada nasib keluarga saya di tanah air.
“Pada saat-saat begitu, Dr. Rani akan memanggil saya untuk berkongsi cerita dan perasaan saya. Sokongan beliau amat membantu saya untuk bangkit semula dan meneruskan pengajian PhD,” ujarnya pada episod audio siar tersebut semalam.
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Komunikasi, Prof. Madya Dr. Bahiyah Omar memuji kesungguhan dan semangat Majed sebagai satu bentuk iltizam yang wajar dicontohi oleh pelajar lain.
Menurutnya, pengajian PhD bukan sahaja menuntut ketahanan fizikal tetapi juga kekuatan mental dan emosi.
“Pusat Pengajian Komunikasi USM sentiasa mengambil pendekatan proaktif dalam menyokong pelajar seperti Majed agar mereka mampu menamatkan pengajian dengan jayanya dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara serta komuniti masing-masing,” tambah Dr. Bahiyah.
Dalam pada itu, Timbalan Dekan Penyelidikan Pusat Pengajian Komunikasi, Prof. Madya Dr. Mohamad Saifudin Mohamad Saleh berkata, penyeliaan berkualiti sentiasa menjadi keutamaan pusat pengajian dalam memastikan setiap graduan PhD mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
“Dalam proses ini, setiap penyelia dan pihak pusat pengajian sentiasa bersedia untuk mendengar, memberikan bimbingan dan menawarkan sokongan mengikut keperluan pelajar bagi memastikan mereka mampu menempuh cabaran akademik dengan baik,” katanya. – MalaysiaGazette
















