KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti sebanyak 1,572 daripada 34,633 cerun di sepanjang Jalan Persekutuan seluruh negara mempunyai risiko dan kebarangkalian yang tinggi untuk runtuh.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia dikenal pasti melalui pengumpulan data serta penghasilan peta bahaya dan risiko cerun di sepanjang Jalan Persekutuan seluruh negara.
Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan meningkatkan pemantauan, rondaan dan pemeriksaan di lokasi cerun berisiko sangat tinggi yang telah dikenal pasti seluruh negara sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL).
“Langkah itu bertujuan mengesan tanda-tanda awal kejadian cerun runtuh serta memastikan sistem saliran di cerun sentiasa berada dalam keadaan baik.
“Bagi memantau pergerakan permukaan cerun, had amaran semasa akan dipaparkan di laman web Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh JKR dan hebahan awal akan disalurkan kepada JKRDaerah, JKR Negeri serta pihak berkepentingan.
“Maklumat ini berdasarkan data hujan yang diperoleh daripada Sistem Amaran Awal serta data pergerakan cerun yang dipasang pada cerun-cerun berisiko,” katanya pada sesi Waktu PertanyaanPertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim mengenai persediaan kementerian menghadapi MTL bagi memastikan Jalan Persekutuan dan cerun sentiasa dalam keadaan selamat.
Dalam pada itu, Alexander menambah,dalam menghadapi musim MTL, JKR mengambil langkah proaktif merangkumi strategi prabencana, semasa bencana dan pasca bencana bagi memastikan Jalan Persekutuan dan cerun sentiasa dalam keadaan selamat.
“Ia termasuk menggariskan tindakan awal sekiranya berlaku insiden (runtuhan) seperti pembersihan laluan dan pengalihan debri tanah serta pelan pengurusan trafik merangkumi penyediaan jalan lencongan alternatif sementara.
“Turut diberi perhatian ialah pemasangan perlindungan permukaan cerun yang runtuh menggunakan propolene sheet bagi membendung runtuhan susulan, sebelum kerja pembaikan kekal dilaksanakan di kawasan terbabit,” katanya. – MalaysiaGazette














