KUALA LUMPUR – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyifatkan resolusi terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan konflik di Gaza gagal mencerminkan hasrat sebenar rakyat Palestin khususnya penduduk Gaza, selain menafikan hak asasi mereka.
Setiausaha Agung PUM, Prof. Madya Dr. Mohd Roslan Mohd Nor berkata, pihaknya khuatir resolusi itu tidak akan membawa kepada perdamaian sejati, bahkan berpotensi menambah duka bagi penduduk Gaza.
Menurut beliau, keputusan seperti penempatan pasukan antarabangsa tanpa jaminan akan kedaulatan Palestin dilihat sebagai satu bentuk campur tangan yang boleh mengundang konflik berpanjangan.
Sehubungan itu, ujarnya, PUM menyeru PBB dan komuniti antarabangsa mengambil tindakan lebih tegas dan adil termasuk melindungi hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri secara bermaruah.

Selain itu, keadilan dan kemanusiaan di Palestin khususnya di Gaza perlu ditegakkan segera dengan menghentikan penderitaan akibat sekatan bantuan, keganasan berterusan rejim Zionis dan serangan yang melibatkan kehilangan nyawa.
“Kami juga menyeru rundingan yang benar-benar melibatkan wakil sah Palestin dengan menghormati pelbagai kumpulan, bukan hanya dalam pentadbiran sementara tetapi dalam struktur masa depan yang memberi kekuatan suara kepada rakyat Gaza,” katanya dalam satu kenyataan.
Selasa lalu, Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi yang dirangka Amerika Syarikat (AS) bagi mengukuhkan pelan damai Gaza anjuran Presiden Donald Trump, termasuk penempatan pasukan antarabangsa dan laluan ke arah pembentukan sebuah negara Palestin pada masa hadapan.
Sebanyak 13 undi menyokong teks berkenaan, yang disifatkan Washington selepas undian sebagai “bersejarah dan konstruktif”, dengan hanya Russia dan China berkecuali, namun tiada kuasa veto digunakan.
Bagaimanapun, pemerintah Hamas di Gaza menolak resolusi PBB itu dengan alasan ia gagal menghormati tuntutan dan hak rakyat Palestin.
Sementara itu, Mohd Roslan menambah, PUM menyeru semua pihak terus memberi penekanan dan harapan demi keadilan dan keamanan yang sebenar di bumi Palestin.
“Rakyat Palestin memerlukan lebih daripada resolusi simbolik; mereka memerlukan sokongan dunia yang komited dan berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette
















