KUALA LUMPUR – Ibu bapa di Lembah Klang digesa mengambil peluang membawa anak-anak berusia tujuh hingga 11 tahun menjalani saringan anemia secara percuma menerusi Program Saringan Anemia dan Pencegahan Denggi yang berlangsung pada 6 dan 16 September ini.

Program anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MySKALA itu diadakan di Dewan Dahlia, Seksyen 24  mulai esok dan Dewan Residensi TNB, Kelana Jaya pada 16 September, masing-masing dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Menariknya, kanak-kanak yang hadir bersama ibu atau bapa dan melengkapkan saringan berpeluang menerima saguhati sebanyak RM150, tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan.

Peserta turut akan menerima laporan makmal serta cadangan berkaitan pemakanan dan gaya hidup berdasarkan keputusan saringan.

Pengerusi MySKALA merangkap Penasihat Program, Fazrul Nizam Osman berkata, inisiatif berkenaan bertujuan menggalakkan pengesanan awal anemia selain meningkatkan kesedaran keluarga dan komuniti mengenai langkah pencegahan denggi.

Menurut beliau, anemia dalam kalangan kanak-kanak kadangkala sukar dikesan kerana mereka mungkin kelihatan sihat dan aktif tanpa menunjukkan gejala yang ketara.

“Paras hemoglobin yang rendah boleh menjejaskan keupayaan darah membawa oksigen ke seluruh badan dan dalam keadaan tertentu memerlukan perhatian serta tindakan susulan lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain anemia, program itu turut memberi penekanan terhadap pencegahan denggi yang masih menjadi ancaman kepada masyarakat.

Untuk rekod, berdasarkan rekod portal rasmi iDengue pada 3 September lalu, sebanyak 339 kes baharu denggi direkodkan di seluruh negara, termasuk 124 kes di Selangor.

Denggi pada tahap teruk boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk pendarahan dan sindrom kejutan denggi yang berpotensi mengancam nyawa.

Program itu mendapat kerjasama Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), PELITAWANIS TNB, MPP Zon 8 Shah Alam dan MPP Zon 21 Kelana Jaya.

Selain saringan kesihatan, pelbagai aktiviti mesra keluarga turut disediakan termasuk mini zoo oleh BrotherHood Reptiles, persembahan badut, Supa Doopa serta agihan aiskrim, makanan, minuman dan cenderamata kepada peserta.

Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian menerusi kod QR yang disediakan atau boleh sahaja secara walk-in di lokasi program. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here