KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan dalam serbuan ke atas sebuah rumah yang dipercayai dijadikan pusat memproses dan mengedar ketum di Kampung Padang Jaya, Jaya Gading, Kuantan, Pahang.
Menurut Pasukan Gerakan Am (PGA), serbuan Op Taring Mitra pada jam 11 pagi itu menemui 52.90 kilogram daun ketum bersama 547 bungkus air ketum yang telah diproses.
“Pemeriksaan mendapati anggaran jumlah keseluruhan air ketum yang dirampas sebanyak 437.6 liter.” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, Ibu Pejabat Briged Tenggara PGA turut merampas peralatan memproses ketum serta sebuah kenderaan yang digunakan bagi tujuan pengedaran.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM71,000 dan semua barang kes telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – Malaysiagazette
















