KOTA KINABALU – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak pernah menghalang pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi pulang ke Sabah untuk mengundi dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, 29 November ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, ia kerana tanggungjawab mengundi itu dijamin Perlembagaan Persekutuan termasuk pengundi muda dalam kalangan mahasiswa.
“Mereka memahami keperluan kerana kita (KPT) tidak mahu dilihat cuba menghalang pelajar-pelajar untuk tidak mengundi. Ini kerana hak mengundi ini adalah satu hak yang telah pun ditetapkan dalam Perlembagaan kita. Jadi kita selesaikanlah.
“Kita akan benarkan untuk mereka pergi balik apa semua,” katanya ketika Majlis Ramah Mesra KPT Bersama Media di sini hari ini.

Pada 18 Oktober lalu, Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) dijadualkan pada 29 November ditunda sehari kepada 30 November bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.
Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, tarikh asal konvokesyen itu ditetapkan tanpa mengetahui bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh berkenaan sebagai hari pengundian.
Ditanya tentang keperluan pelajar-pelajar diletakkan dalam kategori pengundi pos, Zambry berkata, setakat ini, tiada perbincangan antara KPT dan SPR mengenai saranan itu.
“Ya, di peringkat ini kita tidak ada perbincangan dengan SPR kerana SPR tertakluk kepada kriteria-kriterianya. Jadi kriteria pengundi pos untuk pelajar yang ada bagi satu pilihan raya di sini belum ditetapkan oleh SPR. Apa pun kita serahkan pada SPR ya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















