Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud berucap pada pelancaran manifesto Pakatan Harapan bertema “Komitmen Pakatan Harapan Sabah” sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Kota Kinabalu, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 23 NOVEMBER 2025.

KOTA KINABALU – Pakatan Harapan (PH) komited untuk menuntut bayaran 40 peratus hasil Sabah daripada Kerajaan Persekutuan sekiranya diberikan mandat dan memenangi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, pada 29 November ini.

Pengerusinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, perkara itu akan dilakukan menerusi rundingan antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan selepas pembentukan kerajaan baharu.

“Kita mahu supaya dana 40 peratus itu akan digunakan untuk memperbaiki infrastruktur kita.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana tidak merayu dan memberikan kita dana ini supaya kita dapat baiki kemudahan asas di Sabah,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Pengerusi PH Sabah Datuk Mustapha Sakmud (dua kiri) dan Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) memegang poster manifesto semasa pelancaran manifesto Pakatan Harapan bertema “Komitmen Pakatan Harapan Sabah” sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Kota Kinabalu, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 23 NOVEMBER 2025.

Terdahulu Mustapha meluncurkan Manifesto PH yang bertemakan Tuntutan 40 Peratus Selesai Membina Sabah Baharu.

Mustapha juga mempertahankan komitmen PH Sabah yang menawarkan penyelesaian pemulangan hasil Sabah itu secara tuntas.

“Saya fikir ini yang tawaran kita, bukan harapan. Kita bukan sekadar berjuang mendapatkan 40 peratus hasil Sabah.

“Tetapi kita mahu dana ini dimasukkan ke dalam Sabah Sovereign Wealth Fund yang kemudiannya dilaksanakan perancangan.

“Perkara ini sangat penting, inilah masanya, kesempatan ini bukan selalu.

“Terima kasih kepada kepada Perdana Menteri kerana bersetuju untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya hasil 40 peratus ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast