Calon BN N.16 Darau, Arfanshah Abdul Gafar bercakap kepada media sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Kampung Darau, Kota Kinabalu. Foto FAREEZ FADZIL, 23 NOVEMBER 2025.

SEPANGGAR – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.16 Darau, Arfanshah Abdul Gafar menyifatkan dirinya sebagai ‘underdog’ yang mampu mencipta kejutan.

Keyakinan beliau itu berdasarkan penerimaan yang menggalakkan daripada pengundi muda sepanjang tempoh berkempen.

“Alhamdulillah, sepanjang kempen sejak seminggu yang lalu, penerimaan pengundi baik dan sangat positif.

“Walaupun bukan semua, apa yang boleh saya boleh cakap, 80 peratus kawasan yang kami pergi, sambutannya sangat baik,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Berbekal pengalaman sebagai Setiausaha Pemuda BN Sabah, Arfanshah mengakui bertanding sebagai calon ‘underdog’ adalah peluang terbaik untuk membuktikan potensi calon muda.

“Saya dapati, rata-rata pegundi termasuk saya sendiri melihat isu pembangunan di Darau ini sedikit lambat.

“Kerana itu, perubahan harus dilakukan untuk memastikan semua kelemahan-kelemahan ini dapat diatasi dengan cara dan pendekatan BN yang sudah ada pengalaman menguruskannya.

“Kawasan Darau ini adalah pinggir bandar yang ada kampung dana taman perumahan. Banyak perkara yang boleh dilakukan di sini, antaranya memastikan peluang pekerjaan untuk belia,” katanya.

Ketika ditanya mengenai sokongan padu yang diterima, Arfanshah berkata, ketika ini, kawasan Darau mempunyai hampir 60 peratus orang muda.

“Saya lihat, mereka mahu orang muda ada dalam pentadbiran, jadi ini masanya.

“Orang muda bukan setakat duduk di belakang, tetapi kita perlu sama-sama menjadi pembuat keputusan.

“Ini perubahan BN yang membuka peluang kepada generasi muda untuk memimpin dan membawa perubahan,” katanya lagi.

Jelasnya, dengan kesepakatan pengundi serta memberi kepercayaan kepada anak muda memimpin, pelbagai perubahan dapat dilaksanakan.

DUN Darau menyaksikan pertembungan enam penjuru iaitu penyandangnya, Azhar Matussin (Warisan), Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi (GRS), Meriah Osman (PIS, Nordin AH Thani (KDM), Nabila Norsahar (PN-Bersatu).

Pada PRN lalu, Azhar  menang dengan majoriti 562.

DUN Darau mempunyai seramai 33,016 pengundi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast