KOTA KINABALU – Di sebalik pembangunan pesat di pusat-pusat bandar, kawasan yang jauh di pedalaman dan luar bandar di seluruh negara khususnya di Sabah juga sebenarnya turut menyaksikan banyak perubahan besar sedang berlaku, cuma mungkin tidak selalu dihebahkan.
Di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), kerja-kerja membangunkan prasarana luar bandar itu bukan projek kecil-kecilan.
Ia adalah usaha yang menyentuh kehidupan ratusan ribu orang, dari jalan raya hingga bekalan air, elektrik, serta kemudahan sosial di kampung-kampung.
Semua itu bukan sekadar projek fizikal, tetapi turut membuka pintu peluang, memudahkan kehidupan dan memastikan rakyat di desa tidak tertinggal dalam arus kemajuan negara.
Sabah menjadi tumpuan besar dalam agenda pembangunan KKDW. Pada tahun 2024, negeri ini menerima RM1.402 bilion bagi menjayakan 324 projek prasarana luar bandar.
Memasuki tahun 2025, peruntukan itu meningkat kepada RM1.466 bilion merangkumi 327 projek besar di seluruh negeri.
Dengan saiz Sabah yang luas dan akses ke beberapa kawasan yang mencabar, kadar pelaksanaan ini bukan calang-calang.
Ia menunjukkan kesungguhan kerajaan memastikan rakyat Sabah menikmati kemudahan asas yang selesa dan selamat.
Di bawah KKDW, tujuh komponen menjadi tulang belakang kepada pembangunan luar bandar.
Pastinya projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sabah antara tunjang dalam agenda KKDW yang diamanahkan untuk melaksanakan projek tersebut.
Pada tahun 2024, sebanyak RM151.57 juta telah dibelanjakan bagi membekalkan air bersih kepada 5,004 rumah.
Tahun ini pula, perbelanjaan adalah RM121.57 juta, di mana Sabah menerima RM84.77 juta untuk membekalkan air kepada 1,948 rumah.

Pemerhati politik dan sosial tempatan, Mohd. Zaki Harry Susanto berkata, projek BALB di Sabah menjadi keperluan yang amat kritikal dalam memastikan komuniti terpencil tidak terus ketinggalan.
Jelasnya, inisiatif itu juga merupakan antara intervensi infrastruktur paling kritikal di Sabah, bukan sahaja untuk menyediakan air bersih tetapi juga sebagai pemangkin pembangunan luar bandar.
Realitinya, tambah beliau, Sabah mempunyai geografi yang kompleks iaitu dari pergunungan hingga pulau-pulau terpencil menjadikan penyediaan utiliti asas lebih mencabar berbanding Semenanjung.
Disebabkan itu, ujarnya, projek BALB memainkan peranan besar antaranya ke arah meningkatkan kualiti hidup komuniti luar bandar.
“Air bersih memberi impak langsung kepada kesihatan, pendidikan dan ekonomi.
“Akses air terawat mengurangkan risiko penyakit bawaan air, memastikan kecekapan operasi sekolah dan klinik serta memudahkan aktiviti pertanian dan penternakan,” katanya.
Tambah Mohd. Zaki Harry, projek BALB juga menyokong pertumbuhan ekonomi setempat, memandangkan banyak kawasan berpotensi berkonsepkan pelancongan dan agro di Sabah masih bergantung kepada bekalan air graviti atau perigi.
Selain itu, katanya, inisiatif tersebut juga mengurangkan jurang pembangunan dengan memberi keutamaan kepada lokasi terpencil yang sebelum ini kurang diberi perhatian.
Bagaimanapun, tambahnya, walaupun BALB terus diperluas, pelaksanaannya di Sabah berdepan beberapa kekangan yang memberi kesan kepada keberkesanan projek.
Antaranya, kata beliau, banyak kawasan kampung hanya boleh diakses melalui jalan tanah, laluan sungai atau laluan pendakian, sekali gus menyukarkan penghantaran bahan binaan, pemasangan paip dan penyelenggaraan rutin.
Selain itu, ujarnya, di beberapa kawasan, sumber air bergantung kepada sungai kecil atau mata air yang mudah terjejas ketika musim kemarau, dan memerlukan reka bentuk sistem yang lebih kompleks.
Sehubungan itu, jelasnya, bagi mengoptimumkan pelaksanaan projek BALB, KKDW bersama Kerajaan Negeri Sabah mempunyai ruang untuk memperkukuh integrasi data dan koordinasi teknikal, antaranya melalui penggabungan peranan serta maklumat antara KKDW, Jabatan Bekalan Air Negeri Sabah (JBANS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam satu platform digital yang lebih tersusun bagi membolehkan pemantauan status projek BALB dilakukan secara masa nyata.
Selain itu, tambah beliau, KKDW juga boleh menetapkan beberapa ‘koridor pembangunan air’ di kawasan kritikal yang diberi tumpuan khusus dari segi pembiayaan, tenaga kerja dan pemantauan.
Di samping itu, katanya, pihak kontraktor juga boleh diberi insentif atas kecekapan, bukan sekadar siap laksana, bagi mengurangkan risiko projek siap tetapi tidak berfungsi optimum.
Menurut Mohd. Zaki Harry, walaupun projek BALB beroperasi dalam persekitaran yang mencabar, usaha yang sedang digerakkan dari segi koordinasi, teknologi dan tadbir urus negeri diyakini dapat menjadikan program ini lebih efisien, tersusun dan mampan.
“Dengan komitmen berterusan KKDW melalui projek baharu dan projek sambungan yang diluluskan, rakyat Sabah terutamanya di pedalaman dijangka menikmati akses air yang lebih stabil dan berkualiti dalam tahun-tahun mendatang,” katanya. – MalaysiaGazette
.
















