Sidang Dewan Rakyat hari ini bertukar tegang dan kecoh seketika selepas dua Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang saling bertikam lidah.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini bertukar tegang dan kecoh seketika selepas dua Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang saling bertikam lidah.

Perang mulut itu tercetus selepas Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan bangun mencelah pada sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkenaan isu kaunseling.

Dalam ucapannya, Mohd Sany bertanyakan sama ada Suhaizan bersetuju sekiranya ahli-ahli Parlimen turut diberikan kaunseling memandangkan ada yang kerap menabur fitnah.

Malah, beliau turut memetik beberapa ahli Parlimen seperti Pendang dan Kota Bharu dalam ucapannya, selain turut membangkitkan berkenaan fitnah mahu mencetuskan semula tragedi Mamali serta ‘pembunuhan’ Presiden Pas.

Kenyataan itu menimbulkan rasa tidak puas hati Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim yang bangkit mempertahankan diri dengan mendakwa Mohd Sany yang sebenarnya memfitnah tetapi cuba melemparkan dakwaan itu kepada barisan pembangkang.

“Dia sebut nama saya (Pendang)…dia sebenarnya yang fitnah tetapi dia lemparkan kepada kita, dia tak beritahu satu yang spesifik pun fitnah apa, dan siapa fitnah dia.

“Bila dia serang kita dan dia tak tahan, dia mula mengadu kepada Speaker untuk buat usul,” katanya.

Enggan membiarkan perang mulut itu berlanjutan, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yeng mengarahkan kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan keluar dewan selama setengah jam.

“Jangan fitnah-memfitnah di sinilah. Cukuplah…saya arahkan Pendang dan Hulu Langat keluar (Dewan) sekejap, keluar setengah jam.

“Jangan ajak bertumbuk lagi di dalam Dewan,” katanya.

Berikutan arahan itu, Awang kemudiannya memohon maaf dan menarik balik kata-katanya dan berharap dapat kekal di dalam Dewan Rakyat memandangkan gilirannya untuk berbahas akan tiba, namun tetap diarahkan keluar oleh Alice.

Terdahulu, awal hari ini, Mohd Sany turut mengadakan sidang akhbar bagi menangkis fitnah bahawa beliau `sibuk’ berkaraoke di Sabah ketika kawasannya di Parlimen Hulu Langat sedang dilanda musibah banjir semalam.

Menurut Mohd Sany, beliau berada di Sabah bagi kempen sempena Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) pada 22 November lalu, namun bergegas pulang bagi meninjau keadaan banjir di kawasannya semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast