PUTRAJAYA – Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sentiasa berhubung dengan Sekretariat Sukan SEA di Thailand bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai tempat-tempat yang terkesan akibat banjir.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, dalam masa yang sama Thailand perlu diberikan masa sehingga kerja-kerja menyelamat akibat bencana berkenaan selesai.
“Kita kena bagi Thailand sedikit masa kerana dalam tempoh bencana ini banyak persediaan kerja menyelamat yang sedang berjalan di sana. Jadi untuk kita tidak seharusnya tekan apa tindakan selanjutnya yang Thailand mahu ambil.
“Biarkan mereka selesaikan dulu kerja menyelamat,” katanya ketika sidang media Persidangan Meja Bulat Belia Bantuan Awal Menangani Tingkah Laku Bunuh Diri Belia di Menara KBS, hari ini.
Menurut beliau, keutamaan kementerian tersebut adalah memastikan perjalanan atlrt yang ke negara berkenaan kelak lancar dan selamat.
Sehubungan itu Hannah berkata, KBS turut mendapatkan pandangan keselamatan pergerakan daripada Kementerian Luar Negara (KLN).
“Apa-apa perubahan yang akan berlaku, pastinya kita nak pastikan atlit kita bila pergi ke sana pergi tempat selamat. Itu paling utama.
“Buat masa ini tolong beri kita masa untuk berhubung dengan sekretariat di sana. Kalau ada perubahan, kita terpaksa ubah untuk pergerakan. Kalau tidak boleh dengan bas (penghantaran atlit) kita akan cari jalan lain,” tambah beliau.
MSN sebelum ini mengesahkan sebahagian kontinjen Malaysia akan bergerak menggunakan jalan darat dengan menaiki bas secara berperingkat berdasarkan tarikh acara masing-masing dan bermalam di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah sebelum ke Songkhla. – MalaysiaGazette
















