Sumber : FB Universiti Utara Malaysia (Official FB)
KUALA LUMPUR – Seramai 40 penuntut dan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang masih terperangkap dalam bencana banjir besar di Hat Yai, Thailand akan diselamatkan menggunakan bot pagi ini.
UUM menerusi kenyataan di laman sosial Facebooknya malam tadi memaklumkan, usaha menyelamat itu akan cuba dilakukan Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Terdahulu, katanya, UUM melalui bantuan NGO juga telah menggerakkan sebanyak 12 buah bot untuk memberikan bantuan makanan dan keperluan asas kepada warga UUM berkenaan di hotel Wangburapa Grand.
Bagaimanapun, menurutnya, bot yang membawa bantuan itu terpaksa berpatah balik disebabkan arus banjir yang terlalu deras.
“Berbanding di tempat lain, hotel kediaman pelajar UUM berdekatan dengan sungai dan ketinggian paras air telah melebihi satu tingkat hotel berkenaan, yang tidak memungkinkan laluan kenderaan kereta atau lori,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran berlainan, UUM turut memaklumkan usaha menyelamatkan penuntut dan pensyarah berkenaan sebelum ini juga gagal meskipun menggunakan bot serta kelengkapan bantuan yang mencukupi.
Ini kerana, jelasnya, risiko berlakunya kemalangan adalah tinggi disebabkan bot boleh terbalik jika terlanggar kereta yang berada di bawah air.
“Insya-Allah usaha penyelamatan diteruskan lagi pagi ini…sama-samalah kita berdoa agak semuanya akan berakhir dengan selamat,” katanya.
Kesemua warga UUM itu merupakan peserta Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 yang sepatutnya pulang Sabtu lalu, namun terperangkap di hotel penginapan mereka akibat banjir besar tanpa bekalan elektrik dan air. – MalaysiaGazette















