Foto: FB KPKT Malaysia

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merakamkan penghargaan kepada keseluruhan 45 anggota daripada 13 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang sedang giat melaksanakan misi bantuan kemanusiaan dalam Operasi Banjir Hatyai, Thailand sejak 21 November lalu.

KPKT dalam satu kenyataan hari ini berkata, misi bantuan rentas sempadan itu membuktikan nilai kesukarelawanan, komitmen dan keberanian pasukan PBS dari Kedah; Pulau Pinang; Perak; Selangor dan Johor dalam membantu rakyat Malaysia yang terkandas akibat bencana banjir di wilayah berkenaan.

Selain itu, tambahnya, KPKT turut menghargai sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) United Sikh Seri Muda yang menyediakan bantuan logistik termasuk unit perubatan serta bantuan makanan bagi menyokong operasi lapangan.

SEBAHAGIAN anggota PBS yang menyertai misi bantuan kemanusiaan menyelamatkan warga Malaysia di Hatyai, Thailand. – Foto: FB KPKT Malaysia

Ujarnya, penggunaan aset operasi seperti bot penyelamat, pacuan empat roda, lori logistik serta penyelarasan rapi melalui pangkalan operasi di Sadao dan Hatyai telah membolehkan misi dilaksanakan dengan teratur, cekap dan profesional.

“KPKT menyanjung tinggi keberanian serta dedikasi semua anggota PBS yang terlibat.

“Mereka merupakan rakan strategik penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan komuniti serta memperluas jaringan sokongan bencana di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Semangat kebersamaan tanpa mengira negeri, latar belakang dan jarak ini amatlah dihargai,” katanya.

Tambah kenyataan itu, berdasarkan maklumat terkini, rakyat Malaysia yang terkandas kini sedang dibantu keluar secara berperingkat, dan sebahagian besar dijangka mula kembali ke Malaysia bermula esok.

“Kementerian merakamkan ucapan terima kasih atas jasa, pengorbanan dan komitmen semua pihak yang memastikan misi ini dapat digerakkan dengan selamat dan berkesan,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Luar melaporkan kira-kira 4,000 rakyat Malaysia di Hatyai dan kawasan berhampiran terkesan akibat banjir yang sedang melanda sejak Sabtu lalu, namun semuanya dilaporkan selamat.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, kebanyakan mereka yang terjejas sedang menginap di hotel bertingkat, meskipun terdapat yang mengalami gangguan sementara bekalan elektrik dan akses makanan ekoran gangguan setempat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast